GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New York: Seorang hakim menolak permohonan seorang wanita yang menuntut ganti rugi atas kecederaan dialami selepas terbabit kemalangan.

Ia selepas peguam bela wanita berkenaan, Howard Greenwald, 68, enggan memakai pelitup muka ketika prosiding kes itu.

New York Daily News melaporkan keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Brooklyn, Lawrence Knipel.

Sebelum membuat keputusan, Knipel yang pernah dimasukkan ke hospital pada musim bunga lalu kerana dijangkiti Covid-19 memberitahu Greenwald untuk mematuhi peraturan mahkamah supaya memakai pelitup muka.

Namun, peguam berkenaan enggan berbuat demikian.

"Lupakan pengalaman peribadi saya dengan Covid-19.

"Kita ada lebih daripada setengah juta individu yang meninggal dunia (akibat Covid-19) di negara ini.

"Jadi, keselamatan paling mustahak. Kita ada protokol dan paling penting memakai pelitup muka," kata Knipel.

Sementara itu, Greenwald memberitahu tidak dapat memakai pelitup muka kerana sukar bernafas.

"Saya bukan menentang peraturan cuma tidak dapat melakukannya.

"Secara fizikal saya tidak dapat ikut peraturan ini untuk menjalankan tugas sebagai peguam," katanya.

Difahamkan, anak guam Greenwald menuntut ganti rugi akibat terbabit kemalangan pada 2017 yang menyebabkannya patah kaki.

Knipel memberitahu media wanita itu masih berpeluang menuntut haknya mengikut saluran undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:31 AM