EUGENIE gembira kes sudah berakhir. FOTO/AFP
EUGENIE gembira kes sudah berakhir. FOTO/AFP
Reuters

NEW YORK: Pemain tenis Kanada Eugenie Bouchard berjaya menyelesaikan kes samannya terhadap Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) hari ini selepas insiden terjatuh ketika Terbuka AS 2015 menyebabkannya terhantuk dan menarik diri daripada kejohanan itu.

Syarat berhubung penyelesaian ke itu bagaimanapun dirahsiakan.

“Ia berlanjutan selama dua setengah tahun, saya gembira ia sudah berakhir,” kata Eugenie di luar mahkamah New York.

“Saya rasa terbela dan mendapat pembelaan hakim semalam. Ketika ini saya lega dan gembira,” kata bekas pemain nombor lima dunia dan finalis Wimbledon.

Eugenie menyaman badan induk tenis AS itu selepas tergelincir dan jatuh di bilik latihan.

Dia menuntut ganti rugi ke atas penderitaan fizikal dan emosi selain kehilangan pendapatan di dalam dan luar gelanggang selepas tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan untuk baki musim itu.

Hakim New York memerintahkan USTA untuk membayar nilai kerosakan sebanyak 75 peratus terhadap Eugenie tetapi juga mendapati pemain tenis itu menyumbang ke arah kecuaian sebanyak 25 peratus.

“Saya dan klien saya Genie berpuas hati dengan penyelesaian itu,” kata peguam Eugenie, Benedict Morelli, menerusi emelnya kepada Reuters.

“Genie mendapat pembelaan semalam dan kini boleh melupakan kes itu. Dia hanya perlu fokus kepada permainannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:46 PM