BANGUNAN utama di Manhattan, New York dihiasi cahaya biru sebagai meraikan penarikan semua peraturan kawalan Covid-19. FOTO AFP
BANGUNAN utama di Manhattan, New York dihiasi cahaya biru sebagai meraikan penarikan semua peraturan kawalan Covid-19. FOTO AFP
Agensi

New York: New York menarik semula sebahagian besar peraturan kawalan Covid-19 selepas 70 peratus daripada penduduk dewasa negeri itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Perkara itu diumumkan oleh Gabenor Andrew Cuomo, pada Selasa.

Cuomo mengatakan semua peraturan kawalan meliputi perniagaan komersial, acara sosial, sukan dan rekreasi, pembinaan, pembuatan dan peruncitan yang dilaksanakan sejak Mac 2020, ditarik balik serta-merta.

"Kita boleh kembali hidup seperti biasa. Perniagaan boleh dibuka kerana arahan mandatori negeri mengenai penjarakan fizikal, peraturan had kapasiti, protokol pembersihan dan nyah kuman, semuanya ditarik balik," katanya.

Bagaimanapun katanya, orang ramai masih perlu memakai pelitup muka di beberapa tempat, seperti hospital, pengangkutan awam dan sekolah mengikut garis panduan yang disyorkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

New York menjadi pusat penularan Covid-19 pada Mac dan April tahun lalu, dan sudah mencatatkan lebih daripada dua juta kes Covid-19 dan 53,000 kematian akibat virus itu.

Kini, ia mempunyai salah satu kadar kes positif terendah di Amerika Syarikat.

Lebih daripada 11.1 juta penduduk New York sudah divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos dan kira-kira 9.8 juta diberi vaksin sepenuhnya.

Dalam pada itu, bangunan utama di New York seperti Empire State Building akan dihiasi dengan cahaya biru sebagai memperingati pencapaian vaksinasi itu.

Sebelum ini, California juga mengumumkan untuk menarik semula sebahagian besar peraturan kawalan Covid-19 menerusi 'pembukaan semula' negeri itu.

Mulai Selasa, tiada lagi peraturan penjarakan fizikal, had kapasiti di restoran, bar, pasar raya, gimnasium.

Individu yang sudah divaksin juga tidak lagi perlu memakai pelitup muka di kebanyakan tempat, walaupun mereka perlu memakainya di beberapa perniagaan dan kawasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 1:19 PM