LELAKI Colombia ditahan di lapangan terbang Barcelona selepas cuba seludup dadah guna rambut palsu. FOTO: AFP
LELAKI Colombia ditahan di lapangan terbang Barcelona selepas cuba seludup dadah guna rambut palsu. FOTO: AFP
AFP

MADRID: Taktik seorang lelaki yang cuba menyeludup dadah di dalam rambut palsu yang dipakainya tidak menjadi apabila dia ditangkap pihak berkuasa lapangan terbang Barcelona selepas pegawai berasa hairan melihat bentuk kepalanya yang pelik.

Polis dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, lelaki warga Colombia itu menarik perhatian pegawai kerana kelihatan gementar dan rambut palsu yang dipakainya terlalu tinggi.

Pegawai lapangan terbang kemudian menahan dan menyoal siasat lelaki itu sebelum menemui satu paket dadah jenis kokain bernilai lebih AS$34,000 (RM139,623) yang ditampal di kepalanya.

Dalam operasi yang dikenali sebagai ‘Operasi Toupee’ itu, suspek ditangkap di lapangan terbang El Prat, Barcelona, yang kedua paling sibuk di Sepanyol.

Lelaki itu dilaporkan datang ke Barcelona pada akhir Jun lalu dengan menaiki penerbangan dari Bogota.

Sepanyol yang mempunyai kaitan sejarah dan bahasa dari Amerika Selatan itu adalah laluan utama kokain ke Eropah, kebanyakannya dari Colombia.

Penyeludup menggunakan pelbagai cara kreatif untuk menyeludup dadah melepasi pihak berkuasa Sepanyol.

Sebelum ini, pihak berkuasa Sepanyol menggagal pelbagai cubaan menyeludup dadah termasuk disembunyikan di dalam implan payudara, buah nanas, kusyen kerusi roda, di dalam acuan plaster lelaki yang patah kaki dan dalam set memasak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:42 PM