MIGUEL Angel Lopez. FOTO REUTERS
MIGUEL Angel Lopez. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Pelumba Colombia, Miguel Angel Lopez dikenakan hukuman penggantungan sementara ketika siasatan kesalahan doping sedang dilakukan ke atasnya, kata Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Lopez sedang disiasat berhubung penggunaan dan pemilikan bahan terlarang beberapa minggu sebelum Giro d'Italia 2022, kata UCI mengenai keputusan untuk menggantung sementara pelumba itu sebelum menunggu keputusan muktamad.

Lopez, 29, yang meraih tempat ketiga di Giro d'Italia dan Vuelta pada 2018, sepatutnya mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Dunia di Glasgow bermula 3 sehingga 13 Ogos.

UCI berkata keputusan itu diambil selepas bukti diperolehi daripada polis di Sepanyol dan Pertubuhan Anti-Doping Kebangsaan Sepanyol.

Disember lalu, Lopez dipecat oleh pasukan Astana, yang mendakwa dia mempunyai kaitan dengan doktor di Sepanyol ketika siasatan doping itu sedang berlangsung.

Dia sudah pun digantung sementara selama seminggu oleh pasukannya selepas ditahan di lapangan terbang Madrid, Julai lalu.

Pelumba Colombia itu, yang memenangi Jelajah Switzerland pada 2016 dan Jelajah Catalonia pada 2019, menafikan sebarang kaitan dengan doping.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 9:58 AM