SEORANG lelaki bermain telefon bimbit ketika menjaga kedai runcit keluarganya.
SEORANG lelaki bermain telefon bimbit ketika menjaga kedai runcit keluarganya.
ORANG Amish menghadiri festival yang mempamerkan peralatan ladang berkuasa wap dan artifak lain yang digunakan satu ketika dulu.
ORANG Amish menghadiri festival yang mempamerkan peralatan ladang berkuasa wap dan artifak lain yang digunakan satu ketika dulu.
HM Digital

Seorang wanita muda mengenakan pakaian tradisional Amish berjalan keluar dari pasar tani sambil asyik meneliti skrin telefon bimbitnya, seolah-olah tenggelam dalam dunia sendiri tanpa menyedari apa yang berlaku sekelilingnya.

Tidak jauh dari situ, seorang lelaki berusia lewat 60-an memakai topi jerami sedang menyelaraskan tetapan komputernya. Dia kemudian memotong kepingan kayu untuk membina gazebo yang akan dijual dalam talian dan dihantar ke seluruh negara.

Sehingga kini, orang Amish masih menggunakan kereta kuda. Keengganan mereka menerima teknologi moden bererti golongan ini masih mengamalkan gaya hidup seperti abad ke-19, tanpa kereta, televisyen dan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, teknologi seperti komputer dan telefon bimbit semakin menyerap dalam masyarakat Amish sekali gus sedikit sebanyak memaksa mereka lebih terbuka untuk menerima arus kemodenan.

Teknologi moden membuka lebih banyak peluang untuk memakmuran mereka, seiring masyarakat lain di seluruh dunia. Contohnya, lebih mudah membuat pesanan melalui telefon atau menerima pembayaran menggunakan kad kredit.

Namun, tidak kurang juga yang bimbang dengan kemunculan teknologi baru kerana risaukan pengaruh negatif kesan penggunaan Internet.

Antara lain, percampuran lebih bebas dan terbuka dengan masyarakat luar di Internet dibimbangi mendedahkan anak muda mereka kepada pornografi serta ‘godaan’ kehidupan berbeza dipaparkan dalam media sosial.

John, seorang tukang kayu, memberi contoh penggunaan kereta sebagai teknologi awal yang masih tidak diamalkan golongan Amish kerana tidak dianggap perlu.

“Selama ini kami tidak menggunakan kereta, dan dengan itu secara tidak langsung mengekang anak muda kami keluar daripada kelompok masyarakat ini. Kami sentiasa bimbang mengenai pengaruh luar terhadap golongan muda Amish,” katanya.

Masyarakat Amish juga banggakan pembelajaran kemahiran selepas tamat persekolahan pada usia sekitar 15 tahun.

“Selama ini kami belajar melalui pendedahan dan pergaulan dengan orang tua menggunakan pendekatan amali. Ini termasuk ilmu berniaga atau kraftangan.

“Sebaliknya, cara pembelajaran zaman moden sekadar menggunakan Internet boleh dianggap kaedah malas bagi kami. Sekiranya boleh memperolehnya di Internet, seseorang tidak akan menggunakan akal untuk memikirkan sendiri cara menyelesaikan sesuatu.

“Lebih ramai yang bergantung kepada teknologi, maka lagi ramailah memilih makan gaji saja dengan kerja pejabat. Tetapi sebagai contoh, bangunan tidak boleh dibina dengan hanya duduk makan gaji.

“Sejujurnya, saya bimbangkan masa depan kami, terutama generasi akan datang. Kami bimbang mereka kehilangan etika kerja yang selama ini menjadi teras orang Amish,” kata Levi, yang juga tukang kayu.

Bagaimanapun, sesetengah anak muda tidak bersetuju.

Marylin, 18, berkata, apabila dia dan rakannya berkumpul untuk aktiviti gereja, mereka diarahkan menghormati perhimpunan berkenaan dan memadamkan telefon bimbit.

“Orang tua kami perlu memahami dunia sekarang berbeza dan mereka perlu memberikan lebih banyak kelonggaran. Pada zaman ini kami tidak boleh meneruskan cara hidup seperti dilakukan mereka 50 tahun lalu kerana terlalu banyak perubahan sudah berlaku.

“Kami memang sukakan cara hidup sedia ada, tetapi sedikit perubahan juga diperlukan untuk memastikan kami tidak terus ketinggalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 3:15 AM