SISTEM pengangkutan perlu canggih.
SISTEM pengangkutan perlu canggih.
OPERASI berteknologi tinggi kawal pengangkutan awam di bandar pintar.
OPERASI berteknologi tinggi kawal pengangkutan awam di bandar pintar.
UBER menjadi evolusi.
UBER menjadi evolusi.
PERUBAHAN pengangkutan awam menjadi tunjang kepada kehidupan rakyat.
PERUBAHAN pengangkutan awam menjadi tunjang kepada kehidupan rakyat.
Afiq Hanif

Peningkatan penduduk bandar menyebabkan mereka memerlukan pengangkutan pintar untuk memudahkan bergerak dalam melakukan rutin hidup seharian.

Sedar atau tidak, penduduk dunia semakin meningkat dari hari ke hari, sehingga saat ini jumlahnya mencecah 7,598,504,800 orang yang menghirup udara segar di bumi ini dan Malaysia kini mempunyai 31,624,264 penduduk.

Setiap penduduk dalam kelompok populasi memerlukan rumah sebagai tempat tinggal sehingga mewujudkan bandar sama ada kecil atau besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru Pulau Pinang atau Ipoh.

2018 membawa perubahan besar kepada penduduk dunia ketika ini dan uniknya Malaysia apabila populasi yang tinggal di kawasan bandar semakin meningkat.

Persidangan Meja Bulat Industri Mengenai Bandar Pintar 2020 - Mengubah Reka Bentuk Perumahan dan Pembinaan dengan Teknologi, menjangkakan penduduk dunia akan mencecah 9.4 bilion menjelang 2050.

Daripada jumlah itu, lebih 60 peratus akan menetap di kawasan bandar. Pertambahan jumlah ini meningkatkan lagi permintaan terhadap bangunan sehingga ia memaksa reformasi semula dalam rekaan untuk membina komuniti.

Karakteristik utama dalam pembangunan dan inovasi di serata dunia kini ialah penyambungan iaitu keupayaan untuk membina kemudahan antara komunikasi dan interaksi bagi setiap bangunan serta prasarana digital untuk keselesaan penduduk.

Penyambungan yang baik menjadikan pengalaman pengguna lebih bermakna dan memajukan operasi selain mengurangkan kos dalam kitaran hidup bangunan serta mengekalkan alam semula jadi.

Tidak kira dalam sektor korporat atau pengguna, pemilik dan penduduk hari ini lebih celik teknologi.

Lebih-lebih lagi apabila wawasan Malaysia kini ke arah masyarakat yang berpengetahuan.

Itu meningkatkan permintaan terhadap prasarana bertaraf dunia termasuk penyambungan yang lancar dan kolaborasi masa sebenar.

Internet untuk segalanya (IoT) menyumbang kepada pembangunan bandar, seterusnya menjadikan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu terus berhubungan berdasarkan Internet.

Ia menjurus kepada bandar pintar yang mana kehidupan penduduknya seharusnya lebih teratur dan berasaskan teknologi.

Antara cabang utama dalam pembangunan bandar pintar termasuk sistem pengangkutan yang sistematik dan tersusun, mudah akses seterusnya memberikan keselesaan kepada penduduk untuk bergerak.

Pembangunan transit aliran ringan (LRT), MRT dan Monorel membantu mempercepatkan proses pergerakan menunjukkan bandar pintar apabila ia dimanfaatkan sepenuhnya kepada penduduk di negara ini.

Sistem pengangkutan awam terbabit diselang- selikan dengan aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber atau Grab yang tidak lagi diperlukan.

Misalnya, dari titik A ke titik B, pengguna boleh memanfaatkan kedua jenis pengangkutan ini tanpa perlu membawa kenderaan masing-masing ke tempat kerja.

Kemudian, anda tidak lagi perlu membawa wang ringgit dalam jumlah yang banyak kerana pembayaran semuanya dilakukan secara ‘online’.

Sama ada menggunakan kad Touch n Go atau Paywave, sistem pembayaran terbabit menjadi salah satu keperluan dalam bandar pintar.

Kemudian, anda boleh bayangkan bandar pintar tidak lagi memerlukan anda membeli kenderaan sendiri.

Jika berhasrat untuk ke mana saja, hanya sewa kenderaan menggunakan aplikasi seperti GoCar atau Socar.

Terutama kepada golongan muda yang masih belum berumah tangga atau keluarga kecil, langkah ini lebih menjimatkan tanpa ada komitmen pembelian kenderaan yang mahal.

Peningkatan kesesakan lalu lintas mengakibatkan penduduk bandar di Kuala Lumpur beralih ke perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT dan LRT untuk perjalanan harian mereka.

Walaupun perkhidmatan ini diketahui dapat mengurangkan masa perjalanan purata dalam kehidupan sehari rakyat Malaysia, penumpang sering menghadapi sekatan apabila mahu tiba ke destinasi akhir yang tidak mengikut laluan pengangkutan awam.

Ini antara punca mengapa ramai masih membeli kenderaan.

Bandar pintar juga membolehkan pengangkutan ‘multi-flex’ berfungsi yang mengubah paradigma mobiliti di bandar.

Penyedia seperti Socar misalnya mampu meletakkan kereta secara strategik untuk tempahan di hab utama pengangkutan awam yang memungkinkan pengangkutan multi-flex menjadi realiti.

Sebagai permulaan, warga KL mempunyai fleksibiliti penuh dalam memilih mod pengangkutan diperlukan untuk memenuhi keperluan mereka apabila menginginkannya di mana saja yang mereka mahu.

Selain melengkapkan sistem pengangkutan multi-flex, Socar juga memberikan pemuat turun aplikasinya fleksibiliti dan kemudahan memandu kereta tanpa terbeban dengan komitmen memiliki sebuah kereta, sekali gus menjadikan pemanduan tanpa kereta satu realiti.

“Di Malaysia, salah satu sebab utama kebankrapan adalah baki tertunggak pinjaman kenderaan dan aplikasi perkongsian kereta seperti Socar membantu orang ramai menikmati manfaat memiliki kereta tanpa beban kewangan pinjaman,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Socar Malaysia, Leon Foong.

Melengkapi hidup moden Malaysia, aplikasi telefon pintar membolehkan pengguna menempah kereta mereka dengan beberapa klik.

Pengguna aplikasi mempunyai fleksibiliti menempah kereta untuk sebarang tempoh daripada 30 minit hingga seminggu.

Kejayaan sesuatu bandar masa depan mesti memiliki prasarana untuk memenuhi aliran maklumat terkini dan menjangkau kemudahan asas komunikasi.

Ia perlu dimasukkan dalam perancangan dan peringkat rekaan serta agenda oleh si pembuat dasar. Mereka yang berada dalam industri perlukan Protokol Internet (IP) bersepadu, perkhidmatan web dan teknologi lain dalam satu bangunan sebagai kemudahan sebenar dalam pengalaman pembinaan pintar.

Perhubungan atau penyambungan memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran terbabit meneroka teknologi digital dan menukar cara kita membina tempat tinggal, bekerja, bermain serta belajar.

Pelbagai elemen termasuk perkakasan, bangunan komersial, perumahan, ruang umum, hotel dan kedai perlu dirangkaikan bersama untuk membentuk kolaborasi, keselamatan, pengurusan, mobiliti serta produktiviti unggul.

IP menjadi tunjang utama dalam sistem rangkaian perniagaan global dan sektor awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:56 PM