SHUHADA MANSOR mahu kita sedar obses terhadap media sosial tidak akan ke mana. Perlu tahu masa dan waktu sesuai untuk melayari Internet, bukannya sepanjang masa apatah lagi ketika bersama keluarga.

Tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan sama ada teknologi atau pun sikap kita sendiri.

Generasi muda kini terlalu fanatik dengan pelbagai gajet canggih. Boleh dikatakan semuanya boleh mengakses Internet sekali gus membolehkan kita melayari pelbagai jenis laman sosial tanpa had waktu. Ketagih melayari Internet terutama laman sosial secara tidak langsung menjadikan seseorang itu lalai.

Ketagihan ini boleh diibaratkan seperti virus. Bayangkan jika anda melepak bersama dua rakan lain yang kedua-dua dua mereka sibuk ‘membelek’ telefon, pasti anda juga turut diam ‘menelaah’ telefon sendiri.

15 HINGGA 24 TAHUN PALING AKTIF

Dalam laporan United Nations, International Telecommunication Union (ITU), Malaysia mencatat kadar keempat tertinggi mempu­nyai masyarakat digital di dunia.

Masyarakat digital ditakrifkan dalam laporan itu sebagai belia berumur 15 hingga 24 tahun yang menggunakan Internet secara aktif sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Kajian yang dijalankan secara usaha sama dengan Institut Teknologi Georgia itu menunjukkan 13.4 peratus atau lebih 3.9 juta rakyat Malaysia dikelaskan sebagai masyarakat digital me­nyumbang hampir tiga suku daripada belia negara.

Jumlah rakyat Malaysia kini mencecah 30 juta orang pada Februari 2014.

TUTUP TELEFON DAN MAKAN!

Segelintir individu yang terlalu taasub akan sentiasa berada dalam talian selama 24 jam.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada antara rakan ataupun adik-beradik yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing meskipun pada waktu makan.

Di Amerika Syarikat dan Taiwan, satu aktiviti diwujudkan bagi menghalang ketagihan ini. Ia dikenali sebagai ‘Berhenti menggunakan telefon ketika makan’ dan semakin popular. Cara aktiviti ini dilakukan ialah ketika makan, setiap orang dikehendaki meletakkan telefon bimbit mereka di tengah meja. Jika ada sesiapa yang tidak dapat menahan diri daripada menggunakan telefon, orang itu akan didenda dengan membayar harga makanan untuk semua orang.

Jika anda benar-benar mementingkan rakan, anda bukan saja perlu mematuhi peraturan ini ketika makan, tetapi juga apabila berjumpa dengan orang lain.

Apa kata cuba lakukan aktiviti ini untuk eratkan kembali hubungan sesama rakan dan keluarga.

GILA PERHATIAN

Dari sudut psikologi, bagi anda yang gilakan media sosial dikelaskan sebagai golongan sunyi dan gilakan perhatian luar daripada kebiasaan.

Paling ketara apabila anda tidak sabar untuk melihat tindak balas yang bakal diterima terhadap entri yang disiarkan dalam media sosial.

Kelalaian melayari sesebuah laman sosial semakin kritikal dan lebih serius lagi terdapat segelintir yang sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang daripada menggunakan Internet.

Tinjauan dilakukan CyberSecurity Malaysia menjelaskan betapa obsesnya pengguna Internet terutama remaja terhadap aplikasi rangkaian sosial.

Tinjauan itu mendapati, seorang gadis di Romania terbunuh akibat terkena renjatan elektrik semasa melayari Twitter dengan komputer ribanya ketika berendam di bilik mandi. Obsesinya itu menyebabkan kematian yang dahsyat.

Masalah lain akibat obsesi yang sering dihidapi ialah mudah hilang fokus, pening, penglihatan kabur dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat.

Tidak salah jika kita ‘berkawan rapat’ dengan Internet kerana mampu melahirkan generasi yang celik IT, tetapi bukannya terlalu obsess hingga lupa tanggungjawab dan abaikan hubungan sesama manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 8:00 AM