SUDUT sisi rumah.
SUDUT sisi rumah.
DEKORASI menggunakan bahan terpakai dan antik.
DEKORASI menggunakan bahan terpakai dan antik.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BEKAS pegawai bank ini sanggup bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja am di nurseri bunga demi mendapatkan ilmu yang diingininya.

Segala ilmu yang diperoleh itu digunakan untuk membina sendiri rumah tradisional klasik dan landskap hiasan.

Selain itu, Noor Azman Norawi, 56, turut menggunakan sentuhan kreativiti menghasilkan dekorasi menarik dan unik pada rumah serta landskapnya.

Jiwa seni yang menebal dalam dirinya menambahkan lagi elemen 'luar kotak' pada dekorasi kediamannya di Kuantan, Pahang yang boleh membuatkan sesiapa saja terpukau.

Noor Azman berkata, dia membina rumah itu pada tahun 2000 yang bermula dengan kafe untuk berniaga sebagai punca pendapatan selepas berhenti kerja bank.

Menurutnya, pada sebelah siang dia bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja am nurseri. Manakala sebelah malam pula dia berniaga di kafe.

"Minat yang mendalam terhadap seni juga mendorong saya untuk menjadi penghibur kesenian yang banyak mengadakan persembahan termasuk di luar negara.

"Kunjungan ke banyak lokasi mencetuskan idea mendekorasi, membina rumah berkonsep tradisional klasik dan landskap menggunakan bahan terbuang seperti kayu, papan, pasu serta tayar.

NOOR Azman di sudut Jejak Bertapak.
NOOR Azman di sudut Jejak Bertapak.

"Dekorasi turut diserikan barangan antik seperti lampu minyak tanah, corong pembesar suara, pondok telefon dan kipas tahun 1940-an," katanya.

Menariknya setiap sudut rumah dihiasi hiasan perkataan yang dipetik daripada drama dan filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Ada ayat berunsurkan nasihat dan juga lawak jenaka yang tidak diketahui generasi muda.

"Secara tidak langsung memberi pendedahan kepada anak muda mengenai lagenda seni tanah air ini," katanya.

 HIASAN perkataan dipetik daripada drama dan filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
HIASAN perkataan dipetik daripada drama dan filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Noor Azman berkata, hiasan itu juga sentiasa menjadi tarikan pengunjung yang datang ke rumahnya dan mereka tidak melepaskan peluang bergambar.

Menurutnya, satu lagi sudut menjadi tarikan ialah arca selipar yang dinamakan Jejak Bertapak.

"Arca selipar ini adalah simbolik kepada saya sebagai anak seni yang akan meninggalkan tapak untuk dikuti anak cucu (meneruskan legasi seni).

"Selipar disusun secara menaik hingga ke atas yang membawa maksud anak dan cucu akan mengikuti 'tapak' ini daripada bawah ke atas," katanya.

MEMBINA rumah dan membuat landskap sendiri.
MEMBINA rumah dan membuat landskap sendiri.

Tambahnya, dia mengubah rumahnya seperti 'muzium' dan 'taman' kerana memerlukan tempat yang seimbang dengan jiwanya untuk berkarya.

"Ini akan membangkitkan 'mood' dan mendatangkan lebih banyak ilham serta ketenangan.

"Landskap di rumah ini sangat luas kerana bersambung dengan kawasan rumah ibu mentua," katanya.

SUDUT menempatkan kipas tahun 1940an.
SUDUT menempatkan kipas tahun 1940an.

Jelasnya, jika tiada undangan persembahan, dia banyak menghabiskan masa dengan melukis atau menambah baik dekorasi rumah dan landskap yang dibantu isteri Suhada Ismail, 54.

"Kami mempunyai minat yang sama dan saling bekerjasama untuk menghasilkan dekorasi menarik.

"Setakat ini rumahnya memenangi dua pertandingan iaitu juara bagi kategori kedai makan pada 2015 dan kategori rumah tradisional tahun 2022 anjuran Majlis Bandaraya Kuantan, Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 6:20 AM