RUMAH setingkat comel yang didiami Nurul Atika dan suami di Teluk Panglima Garang, Selangor.
RUMAH setingkat comel yang didiami Nurul Atika dan suami di Teluk Panglima Garang, Selangor.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ADA apa dengan merah jambu? Selain dikaitkan dengan warna pilihan ramai wanita, rona merah jambu juga menyerlahkan lagi ketenangan dan kelembutan.

Begitupun, tidak ramai yang berani menggunakan rona terbabit untuk dekorasi kediaman kerana dikatakan terlalu fancy dan feminim.

Namun tidak bagi Nurul Atika Riduzam, 28 dan suaminya, Mohamad Firdaus Rusdiyanto, 32 yang memilih rona berkenaan untuk melatari dekorasi hiasan dalaman kediaman mereka yang terletak di Telok Panglima Garang, Selangor.

Kediaman setingkat seluas 750 kaki persegi yang dibina diatas tanah milik suaminya itu mempunyai dua bilik tidur dan satu bilik air.

Ia menjadi tumpuan kerana hampir keseluruhan dekorasi dan barangan rumah terbabit daripada rona merah jambu.

Nurul Atika dan suami berpindah masuk kira-kira dua tahun lalu, sebelum itu mereka menetap bersama keluarga suaminya.

Menurut Nurul Atika, dia mula menggemari rona merah jambu selepas tamat persekolahan dan menjadikan gaya hidup sederhana masyarakat Korea sebagai ilham untuk menghiaskan kediamannya.

Katanya, untuk dekorasi dalaman, dia banyak mengambil ilham daripada drama Korea dan mengikuti perkembangan hiasan dalaman negara berkenaan menerusi laman Instagram (IG).

"Saya tertarik dengan gaya hidup masyarakat Korea yang ringkas dan meskipun saiz kediaman mereka kecil tetapi ia kelihatan kemas dengan hiasan minimalis.

"Kebanyakan barangan rumah mereka juga comel dan menarik, sesuai untuk pasangan muda seperti kami," katanya.

BARANGAN dapur berwarna merah jambu menjadi pilihan hatinya.
BARANGAN dapur berwarna merah jambu menjadi pilihan hatinya.

Nurul Atika yang juga suri rumah itu mengakui hampir semua barangan rumahnya berwarna merah jambu dan kebanyakannya dibeli menerusi atas talian dari negara terbabit.

Ia termasuk peralatan kegunaan di dapur seperti pinggan mangkuk, set sudu garfu, periuk, kuali, kelengkapan memasak, pisau, cawan dan sebagainya.

Selain itu, barangan elektrik seperti penyedut hampagas dan pemanas air juga berwarna merah jambu.

"Peti sejuk pula memang susah untuk mencari yang berwarna merah jambu jadi saya balut dengan kertas dinding rona berkenaan.

"Meja makan pula berwarna putih tetapi semua hiasan berwarna merah jambu.

"Apapun ruang dapur paling saya utamakan dalam dekorasi kerana sebagai suri rumah, banyak masa dihabiskan di situ berbanding ruang lain ," katanya.

Dalam pada itu, rona merah jambu juga melatari dekorasi hiasan di ruang tamu kediaman Nurul Atika.

Selain sofa berwarna merah jambu, permaidani dari rona yang sama juga menjadi pilihan hatinya.

Nurul
Nurul

Kata Nurul Atika, bagi menambahkan lagi seri ruang tamunya, dia turut menambah pokok hidup sebagai hiasan.

"Saya lebih gemarkan pokok hidup kerana ia tampak lebih semula jadi manakala harganya juga jauh lebih murah berbanding pokok hiasan di pasaran.

"Pilihan saya pastinya jenis yang mudah dijaga seperti pokok lidah jin, sirih gading, kaktus dan sebagainya.

"Apa yang penting, perlu rajin menyiram air dan membersihkan daun yang kering ," katanya.

KAMAR tidur juga dihiasi dengan dekorasi rona merah jambu lembut.
KAMAR tidur juga dihiasi dengan dekorasi rona merah jambu lembut.

Tambah Nurul Atika lagi, dek kerana minat mendalam, dia turut menghiasi bilik tidur utama dengan rona merah jambu.

Katanya, sejak berpindah masuk ke rumah itu, dia hanya menggunakan cadar dan sarung bantal berwarna merah jambu.

"Saya bersyukur kerana suami memahami minat terhadap warna merah jambu, setakat ini dia tidak pernah merungut kerana kami sering berbincang sebelum melakukan dekorasi di dalam rumah," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Atika berkata, pada masa hadapan dia dan suami turut merancang untuk menghiasi ruang tandas, laman rumah serta menambah wainscotting.

Kata Nurul Atika, semua itu perlu dilakukan secara sedikit demi sedikit mengikut bajet dan masa yang ada.

SOFA dan permaidani merah jambu menghiasi ruang tamu.
SOFA dan permaidani merah jambu menghiasi ruang tamu.

Malah semua kerja-kerja dekorasi dilakukan sendiri pasangan itu tanpa mengupah pihak luar.

"Kami beli dan hias sedikit demi sedikit mengikut peruntukan yang ada, apa yang saya utamakan adalah warna, harga dan kualiti, " katanya.

SALAH satu sudut di rumah yang dihiasi menarik untuk keselesaan mereka suami isteri.
SALAH satu sudut di rumah yang dihiasi menarik untuk keselesaan mereka suami isteri.

Sementara itu, minat Nurul Atika turut menjadikan dia antara individu yang menjadi rujukan pengguna media sosial untuk dekorasi kediaman.

Menurut Nurul Atika, laman media sosialnya terutama IG sering dihujani dengan pertanyaan dari mana dia mendapatkan barangan merah jambu untuk kediamannya l.

"Hampir setiap hari ada sahaja pengguna media sosial yang bertanyakan soalan dari mana beli dan panduan suai padan rona yang sesuai.

"Ternyata merah jambu memiliki kelompok penggemarnya sendiri dan saya juga tidak berasa malu dengan minat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:01 AM