AKTIVITI dekorasi dan renovasi perlu dilakukan dengan selamat. - FOTO Pexels
AKTIVITI dekorasi dan renovasi perlu dilakukan dengan selamat. - FOTO Pexels
Hafiz Ithnin


APABILA menata hias rumah, kerja seperti mengecat atau menukar permaidani baharu biasanya mengeluarkan aroma yang kurang menyenangkan.

Sebenarnya aroma itu adalah Volatile Organic Compound (VOC) atau sebatian organik meruap dengan mudah dan cepat iaitu kebolehan untuk membebaskan gas ke udara pada suhu bilik.

Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, VOC banyak terdapat dalam bahan binaan bangunan dan produk dalam rumah kita.

Jelasnya, suhu dan kelembapan persekitaran dalaman rumah boleh meningkatkan tahap pelepasan VOC dan memberi kesan terhadap kualiti udara dalam bangunan.

"Contoh produk dalam bangunan yang tinggi VOC adalah perabot, permaidani, pewangi udara, cat, produk cucian dan pembersih, varnis, pelarut, lilin dan sebagainya.

"Banyak produk ini digunakan ketika kerja penataan hiasan dalaman seperti mengecat, melekatkan produk pada permukaan selain kerja pembersihan ruang dalaman bangunan.

"Produk dengan kuantiti bahan kimia yang mengeluarkan gas berbahaya mungkin memberi kesan terutama kepada kanak-kanak dan orang tua," katanya.

Jelasnya, benzena terdapat dalam cat, pelekat dan permaidani. Oleh itu, ketika membeli cat, pilih cat yang dilabel 'Non-Toxic' atau semula jadi, contohnya cat berasaskan air, tumbuhan semula jadi dan mineral.

"Aseton terdapat dalam cat perabot dan kertas dinding juga antara contoh VOC. Ada sesetengah kemasan kayu yang dihasilkan dari sumber petroleum serta perabot dengan kemasan logam krom, boleh membebaskan VOC udara," katanya.

Tambahnya, banyak produk pembersih rumah seperti pencuci pakaian sebatian pembasmi kuman dan pencuci pinggan mangkuk mengandungi etanol.

LETAKKAN bahan yang mengandungi VOC di luar rumah. - FOTO Pexels
LETAKKAN bahan yang mengandungi VOC di luar rumah. - FOTO Pexels

BUKA tingkap dan pintu serta ‘anginkan’ ruang bantu kurangkan konsentrasi VOC dalam rumah. - FOTO Pexels
BUKA tingkap dan pintu serta ‘anginkan’ ruang bantu kurangkan konsentrasi VOC dalam rumah. - FOTO Pexels

"Kita dapat lihat bahawa pandamik Covid-19 meningkatkan penggunaan etanol dalam sebatian pembasmi kuman terutamanya dan hal ini banyak memberi kesan kepada penghuni bangunan.

"Fabrik sintetik adalah salah satu penyumbang kepada peningkatan tahap pembebasan VOC dalam rumah, contohnya kain poliester berasaskan petroleum dan vinil," katanya.

Jelasnya, kehadiran paras VOC yang tinggi dalam persekitaran dalaman menjadi salah satu faktor penyumbang kepada 'Sick Building Syndrome (SBS)'.

"Bermula sekitar 70-an, SBS adalah keadaan yang mana individu dalam bangunan mengalami simptom sakit yang menyebabkan penurunan kualiti dan produktiviti kerja disebabkan kurangnya pengudaraan dalaman bangunan.

"Antara gejala yang dialami pesakit adalah sakit kepala, sesak nafas, radang pada kulit, loya, batuk dan alahan," katanya.

Katanya, tidak mungkin bagi kita untuk menggunakan bahan dan perkakasan yang langsung tiada VOC. Bagaimanapun, tidak perlu risau kerana ada cara yang boleh mengurangkan konsentrasi VOC dalam rumah anda.

"Pertama, menyediakan kotak simpanan khas dan tertutup rapat atau kedap udara. Kedua, meletakkan semua produk yang mengandungi sebatian meruap di luar bangunan terutama dalam stor atau garaj yang mempunyai ventilasi yang mencukupi.

"Selain itu, buka tingkap dan pintu serta 'anginkan' ruang itu menggunakan kipas. Menggunakan produk lebih organik dan rendah kandungan VOC bagi menggantikan bahan kimia berbahaya juga menjadi salah satu alternatif," katanya.

Katanya, pemilik rumah juga boleh memilih fabrik semula jadi seperti kapas organik dan poliester daripada plastik kitar semula.

"Kita juga boleh mengurangkan penggunaan produk berasaskan aerosol, mengikut garis panduan Indeks Bangunan Hijau (GBI) iaitu menggalakkan dan mengiktiraf projek yang mengurangkan kesan buruk terhadap kesihatan penghuni daripada kemasan yang membebaskan bahan pencemar udara dalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 6:44 AM