DARI kiri, Dr  Jessie, Gladys dan   Dr Amir Hamzah ketika perbincangan meja bulat  mengenai Kempen Wellness for Children, semalam.
DARI kiri, Dr Jessie, Gladys dan Dr Amir Hamzah ketika perbincangan meja bulat mengenai Kempen Wellness for Children, semalam.
Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Penggunaan cat mengandungi Volatile Organic Compound (VOC) atau sebatian organik mudah meruap berlebihan di rumah boleh menyebabkan penyakit asma.

Ketua Jabatan Pediatrik Respiratori dan Alahan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Jessie Anne De Bruyne berkata, VOC menghasilkan pencemaran di kawasan tertutup, selain hama dan bulu haiwan.

Menurutnya, selain cat, VOC ialah bahan kimia yang terkandung dalam perabot dan cecair pencuci.

“Pengurangan penggunaan bahan yang mengandungi VOC perlu sebagai pendekatan untuk mengelakkan penyakit asma yang boleh membawa maut.

“Selain itu, jangan campurkan bahan produk sesuka hati kerana ia akan menghasilkan VOC,” katanya ketika perbincangan meja bulat mengenai kempen Wellness for Children di Hospital Pantai, di sini, semalam.

Perbincangan dan kempen itu anjuran Nippon Paint Malaysia Group.

Dr Jessie berkata, orang ramai perlu menitikberatkan kebersihan di dalam rumah supaya tidak terdedah jangkitan virus dan alahan.

“Ramai beranggapan berada di tempat tertutup seperti di dalam rumah lebih selamat daripada di luar tanpa mengetahui risiko jangkitan kuman sekiranya kebersihan diabaikan.

“Risiko pencemaran ini mendorong kepada penyakit asma yang boleh dijangkiti semua peringkat usia. Oleh itu, orang ramai perlu peka membersihkan kawasan terdedah dengan hama yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Perunding Klinikal Imunologi dan Alahan Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Amir Hamzah Abdul Latiff berkata, manusia lebih terdedah dengan pencemaran di dalam kawasan tertutup berbanding di kawasan terbuka.

“Mungkin ada menyangka jerebu lebih teruk dan membuat keputusan tinggal di dalam rumah. Bagaimanapun, mereka tidak menyedari alahan di dalam rumah boleh juga menyebabkan masalah pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Group Gladys Goh berkata, pihaknya mencipta inovasi baru iaitu Nippon VirusGuard pertama di Malaysia sebagai pencegahan mengatasi masalah penyakit berjangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:28 AM