DR Amir Hamzah dan Gladys ketika melancarkan Program Kesejahteraan Ruang Dalaman.
DR Amir Hamzah dan Gladys ketika melancarkan Program Kesejahteraan Ruang Dalaman.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


KESEJAHTERAAN atau kelangsungan hidup bukan sekadar menjaga makan dan minum atau bersenam, sebaliknya menghirup udara nyaman dalam persekitaran bersih juga perlu diberi perhatian.

Ketika negara berdepan isu pencemaran udara sejak beberapa tahun lalu, ramai yang tidak menyedari kualiti udara dalam rumah juga tidak terlepas daripada pencemaran.

Kesejahteraan ruang dalaman adalah suatu elemen yang tidak kelihatan, namun boleh mendatangkan bahaya jika tidak diberi perhatian.

Tanpa disedari pencemaran dalam rumah akan sentiasa wujud dan menjadi lebih buruk daripada pencemaran luar sekitar dua hingga lima kali ganda.

Kebanyakan orang cenderung menghabiskan masa di dalam rumah kerana menganggap ia lebih selamat daripada terdedah kepada udara tercemar di luar.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pada tahun kebelakangan ini, bukti saintifik menunjukkan udara dalam rumah dan bangunan lain boleh menjadi lebih tercemar daripada udara luar terutama di kota besar serta maju.

Penyelidikan lain juga menunjukkan manusia menghabiskan kira-kira 90 peratus masa di dalam rumah mereka. Oleh itu, bagi kebanyakan orang, risiko kepada kesihatan mungkin lebih besar disebabkan pendedahan kepada pencemaran udara di dalam rumah daripada di luar.

Menyedari kepentingan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kualiti udara di rumah, Nippon Paint Malaysia Group (Nippon Paint) baru-baru ini melancarkan Program Kesejahteraan Ruang Dalaman, kempen pendidikan bertujuan memperkasakan pemilik kediaman di Malaysia untuk memperbaiki kualiti udara di dalam rumah mereka ke arah kesejahteraan yang lebih menyeluruh.

Program ini terdiri daripada dua fasa - Tinjauan Kesejahteraan Ruang Dalaman dan Garis Panduan Kesejahteraan Ruang Dalaman.

Tinjauan yang disertai oleh 511 peserta ini bertujuan menilai tabiat pemilik rumah di Malaysia berhubung tahap kebersihan pelbagai ruang di kediaman mereka.

Menerusi tumpuan terhadap empat ruang utama iaitu ruang tamu, bilik tidur, bilik mandi dan dapur. Responden kemudian diberikan Skor Kesejahteraan Ruang Dalaman mengikut kategori berikut: Sihat, Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat.

Hasil daripada tinjauan, Garis Panduan Kesejahteraan Ruang Dalaman turut dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) bagi mendidik orang ramai mengenai kepentingan kesejahteraan ruang dalaman, langkah praktikal dan nasihat pakar mengenai cara mengurangkan atau menghapuskan bahan pencemar udara dalam bangunan.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh Presiden MSAI, Dr Amir Hamzah Abd Latiff, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint, Gladys Goh dan Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia, Dr Rajbans Singh.

Dr Amir berkata, pencemaran persekitaran antara bidang fokus utama MSAI dan pihaknya akur kualiti udara ruangan dalaman secara amnya memberi kesan kepada penjagaan kesihatan, khususnya penyakit alahan dan berkaitan pernafasan, selain kesan terhadap perubahan iklim.

Katanya, matlamat MSAI adalah untuk saling bekerjasama dengan Persatuan Alergi, Asma dan Imunologi Klinikal Asia Pasifik (APAACI) sebagai satu inisiatif serantau untuk mewujudkan kesedaran mengenai kesejahteraan ruang dalaman.

“Garis panduan ini memberi tumpuan kepada rumah kediaman kerana ketika melihat masyarakat secara keseluruhan, kami menyedari kebanyakan daripada kita menghabiskan masa di rumah. Ada bukti menunjukkan kesan pencemaran udara dalam rumah terhadap penyakit kronik tidak berjangkit (NCD) dan manifestasi awal NCD adalah penyakit yang berkaitan alahan.

“Harapan kami agar garis panduan ini akan dibentangkan dan diguna pakai oleh kerajaan dan pembuat dasar dengan keinginan untuk mencadangkan kertas putih mengenai Pencemaran Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk Malaysia.

“Ini selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengkaji isu yang mempengaruhi kehidupan setiap individu di dunia mengenai perkara ini,” katanya.

Katanya, setiap orang perlu meletakkan keutamaan untuk menjaga kebersihan rumah, dan menyeru semua mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh ke arah kesihatan dan kesejahteraan selain perspektif pemakanan dan gaya hidup.

Kebanyakan orang tidak menyedari pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara dalaman sebenarnya boleh membawa kepada kesan sampingan jangka panjang.

TAHAP BAHAYA PENCEMARAN DALAMAN

Realitinya, terdapat tiga tahap bahaya pencemaran dalaman berdasarkan jenis pendedahan terhadap pencemar.

Tahap Bahaya 1 - kesan utama alergen dan zarah pada kesihatan pernafasan individu termasuk:

- Asma (permulaan, semakin teruk, ketegangan, ubat-ubatan) dan gejala seperti asma

- Respon bronkial hiper

- Desahan

- Batuk atau kahak

- Konjunktivitis Rhino

- Mata merah, gatal atau berair

- Bersin

- Kerengsaan hidung, mulut atau tekak tekak

- Hidung tersumbat atau berair

- Alahan atopik

Tahap Bahaya 2 - virus dan bakteria yang terdapat pada permukaan di rumah juga boleh menyebabkan:

- Sinusitis

- Jangkitan telinga dan tekak

- Bronkitis

- Pneumonia

Tahap bahaya 3 - sebatian toksik seperti formaldehid yang terdapat dalam perabot, karbon monoksida daripada pembakaran tidak lengkap, asap tembakau dan racun perosak boleh menyebabkan kesan kesihatan jangka panjang berbahaya seperti:

- Hilang memori

- Sakit kepala

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:00 AM