CUACA hujan berpanjangan boleh menyebabkan pelbagai kerosakan pada permukaan dinding dan kawasan  luar rumah.
CUACA hujan berpanjangan boleh menyebabkan pelbagai kerosakan pada permukaan dinding dan kawasan luar rumah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BAHAGIAN luar rumah berisiko tinggi untuk cepat pudar, kotor dan rosak dalam keadaan cuaca hujan yang melanda negara ketika ini.

Ia bukan sahaja memberi kesan ketara terhadap nilai estetika dan ketahanan sesebuah bangunan malah merunsingkan pemilik kediaman kerana perlu mengeluarkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Cuaca hujan berpanjangan boleh menyebabkan pelbagai kerosakan pada permukaan dinding luar rumah seperti pengelupasan cat, perubahan warna dan masalah kotoran yang menjejaskan kebersihan bangunan.

Oleh itu, penting bagi pemilik kediaman mencari jalan penyelesaian serta mengambil langkah berjaga-jaga supaya dapat melindungi kawasan luar kediaman untuk sentiasa kelihatan cantik, bersih dan kemas.

Bagi memastikan kawasan dinding luaran kediaman kekal cantik dan tahan lama, antara tip penjagaan yang boleh dipraktikkan adalah elakkan kelembapan.

Sama ada kelembapan pada bahagian celahan tepi, tingkap atau pintu, ia boleh menyebabkan cat rosak dan kayu mereput.

Justeru, jangan lupa memeriksa pengedap di sekeliling tingkap serta pintu bagi menghalang air hujan masuk dan memastikan bahagian dalam rumah kekal kering.

DISARANKAN untuk memilih cat yang tahan lasak dalam cuaca ekstrem dan tidak menentu di Malaysia.
DISARANKAN untuk memilih cat yang tahan lasak dalam cuaca ekstrem dan tidak menentu di Malaysia.

Selain itu, pastikan palung saluran air hujan dalam keadaan baik bagi memastikan air tidak berkumpul.

Jika diabaikan, ia berpotensi untuk tersumbat atau rosak, menyebabkan air menyerap ke dalam struktur rumah seterusnya membawa masalah yang memerlukan kos pembaikan tinggi.

Paip saluran pembuangan di luar kediaman juga perlu sentiasa diperiksa kerana dibimbangi ia memerangkap banyak daun kering atau sampah bawaan air.

Dalam pada itu, untuk pilihan warna kediaman pula, disarankan untuk memilih cat yang tahan lasak, ia sesuai dengan keadaan cuaca ekstrem dan tidak menentu di negara ini.

Anda boleh memilih warna dinding luaran yang cerah seperti rona pastel dan neutral bagi meningkatkan pantulan haba.

Ia sekali gus dapat membantu mengurangkan suhu di kawasan permukaan dan menyejukkan kediaman.

Seandainya berhasrat untuk mengecat kediaman atau pagar rumah ketika musim tengkujuh ini, pastikan proses itu dilakukan pada hari yang agak cerah dan kering.

Ini kerana cuaca yang betul juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan hasil terbaik dan tahan lama.

Sementara itu, jika bahagian bumbung mengalami kebocoran atau kerosakan, segeralah untuk membaikinya kerana jika dibiarkan, ia boleh menjadi lebih buruk hingga membabitkan struktur rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:30 AM