Nurul Husna Mahmud


TIDAK semestinya kediaman berstatus villa sahaja boleh menikmati pesona mewah dan sofisikated.

Sebenarnya penggunaan perabot dan aksesori tampil dengan motif mewah mampu mencipta suasana itu pada sebarang ruang dalam kediaman jenis apa pun.

Asalkan bijak menyusun dan memilih aksesori yang dapat menonjolkan sisi eksklusif, peminat konsep dekorasi 'modern glam' atau glamor moden boleh menikmati gaya itu dalam ruang kediaman mereka.

Menurut Pengasas House Of Decor by Yann Ariff, Azizan Ibrahim, gaya glamor moden antara konsep hiasan dalaman kegemaran masyarakat negara ini kerana kombinasi warna semula jadi bersama perincian keemasan membuatkan ruang tampak lebih luas dan bersih.

"Tata hias kediaman glamor moden menyuntik 'wow factor' pada ruang tertentu membuatkan keadaan dalam rumah sentiasa kelihatan cantik, kemas dan bersih.

"Formula gaya ini semestinya terletak pada penggunaan warna semula jadi seperti krim lembut, putih, kelabu atau perang kayu membuatkan kediaman tampak lebih luas.

"Elemen eksklusif atau elegan dipadukan dengan pemilihan aksesori yang mempunyI elemen keemasan secara tidak langsung menghidupkan aura kemewahan.

"Gaya glamor ini juga relevan untuk sepanjang zaman atau sedap mata memandang baik kerana penggunaan warna semula jadinya sebagai latar utama," katanya.

Perunding hiasan dalaman berusia 45 tahun itu juga berkata, tidak semestinya perlu berhabis duit untuk mencipta gaya glamor dan moden kerana pelbagai 'helah' boleh digunakan bagi menampakkan ciri - ciri mewah.

GLAMOR lampu gantung yang berwarna kuning digantung rendah.
GLAMOR lampu gantung yang berwarna kuning digantung rendah.

"Ketika saya mula menghias rumah sendiri dengan tema glamor moden pada tahun 2019. Aksesori dengan tema itu sukar kerana tidak banyak kedai perabot menawarkan tema itu.

"Kebanyakan aksesori atau barangan dekorasi lebih kepada scandinivia atau gaya rumah ladang Inggeris.

"Secara tidak langsung membuatkan barang dekorasi bertemakan glamor moden sukar ditemui. Saya sendiri perlu ke luar mencari barang terbabit.

"Tetapi apabila pandemik Covid-19 dan ramai mula menghias rumah, saya perasan pelbagai barangan dekorasi rumah mula timbul di pasaran termasuklah konsep glamor moden," katanya.

Tambah Azizan yang lebih mesra disapa Yann, penggunaan aksesori glamor moden boleh juga ditumpukan kepada pilihan perabot dan hiasan.

"Sebenarnya untuk hiasan glamor moden tidaklah keterlaluan atau perlu sarat. Contohnya, pilihan perabot seperti sofa berwarna krim bersama meja kaca dengan kaki atau bingkai emas untuk laraskan 'mood' mewah yang elegan.

KOMBINASI warna cerah cukup menonjol dengan aksesori hiasan warna emas.
KOMBINASI warna cerah cukup menonjol dengan aksesori hiasan warna emas.

"Sempurnakan konsep itu dengan pilihan hiasan di meja sama ada pasu bunga, pemegang lilin, buku hiasan berwarna keemasan yang boleh menaikkan ciri-ciri mewah di ruang utama," katanya.

Berbanding memilih warna sofa gelap yang dikatakan memiliki pesona ekslusif, akui perunding itu warna krim atau cerah lebih mudah dipadankan dengan aksesori serta rona itu juga tidak jemu.

"Lain padang lain belalang, begitu juga dalam idea setiap perunding hiasan dalaman. Saya sukakan sesuatu yang nampak lapang dan kemas.

"Efek itu dapat diwujudkan dengan warna cerah seperti putih dan krim atau warna kayu. Satu tip penting, di ruang tamu sebaiknya saya sarankan pemilik elak meletakkan televisyen pada ruang terbabit.

"Wujudkan ruang tontonan di ruang lain seperti ruang tamu tambahan atau di ruang makan. Ini memastikan ruang terbabit sentiasa bersih dan kemas.

UNIK pendiang api 'artificial' untuk tonjolkan ciri mewah.
UNIK pendiang api 'artificial' untuk tonjolkan ciri mewah.

"Satu lagi tip yang mungkin berbeza dengan perunding lain ialah saya gemar menggunakan lampu gantung atau chandeliar dengan rekaan mewah.

"Lampu dipilih sebaiknya kuning dan saya gantung pada aras lebih rendah berbanding ketinggian standard. Ciri-ciri keselamatan apabila lampu dipasang rendah ialah perabot seperti meja perlu selari dengan kedudukan lampu," katanya.

Tujuan perabot dan lampu berada dalam posisi itu mengelak insiden kemalangan dan keadaan itu dapat memberi pencahayaan keemasan lebih optimum pada ruang berkenaan.

Yann turut berkongsi cermin juga antara aksesori yang kerap digunakan bagi menyuntik gaya glamor moden pada ruang kediaman sama ada dipasang pada ruang tamu atau ruang makan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 7:00 AM