PERABOT yang ada rekaan klasik membuatkan ada ‘esen’ monarki dapat dirasai.
PERABOT yang ada rekaan klasik membuatkan ada ‘esen’ monarki dapat dirasai.
Nurul Husna Mahmud


SESIAPA yang pernah mendengar mengenai 'Louis le Grand,' pastinya memperkatakan mengenai pesona raja Perancis, Louis Dieudonne de France yang begitu 'taasub' dengan elemen kesenian termasuk seni halus.

Tidak hairan legasi atau nilai estetika termasuk motif hiasan dalaman. Dari perincian aksesori sehingga bangunan, cita rasa figura monarki itu masih bertahan berabad lamanya.

Malah, dikatakan juga unsur rekaan bermotifkan seni hiasan wujud pada zaman King Louis itu menjadi 'esen' kepada gaya rekaan dalaman kediaman untuk tahun depan.

Menurut Pereka Dalaman MH Casa Decoration, Haziq Ammar, sejak awal Disember rekaan berunsurkan era King Louis mula mendapat perhatian pereka dalaman di Eropah apabila memuatkan perincian itu sebagai nilai tambah gaya konsep bergenre barat lain.

Kata pereka berusia 36 tahun itu, sedikit demi sedikit motif 'kerawang' seperti mana dilihat pada perincian perabot atau aksesori klasik muncul semula dalam pasaran.

"Konsep King Louis merujuk kepada gaya atau elemen dekorasi yang wujud ketika era kurun 16 atau 17 iaitu pemerintahan raja Perancis itu yang cukup masyhur kerana memiliki minat dan cita rasa dalam sebarang elemen seni.

"Dari pakaian raja itu sehingga setiap pelosok istana termasuk taman diraja, semuanya mempunyai rekaan merujuk kepada keindahan dan kemewahan empayar ketika itu.

"Motif kerawang berunsurkan flora selain penggunaan warna terang seperti jingga, hijau dam biru antara kemasan boleh dilihat pada penggayaan berkait dengan hiasan dalaman.

"Pemerhatian saya menerusi portal yang sering menjadi platform kepada pereka hiasan dalaman, unsur ini mula 'menyelinap' dalam trend terkini sejak penghujung tahun ini," katanya.

Tambah Haziq, konsep klasik itu diberi nafas baharu apabila ia disisipkan dalam rekaan gaya lebih relevan dengan pemilik rumah masa kini.

TAMPAK mewah dan unik , gabungan biru dan emas selain perabot gaya klasik.
TAMPAK mewah dan unik , gabungan biru dan emas selain perabot gaya klasik.

"Saya sendiri mula bereksperimentasi penggunaan motif klasik monarki ini pada rekaan terbaharu untuk sebuah rumah di Sepang, Selangor.

"Esen rekaan klasik ini adalah tafsiran kepada elemen glamor atau elegan. Jadi, apabila digabungkan dalam motif seperti gaya rumah ladang Inggeris, rumah desa (kotej) Inggeris, moden klasik dan moden glamor, masih serasi.

"Sebagai contoh saya memilih meja konsol dengan kerawang atau penataan klasik atau cermin dengan bingkainya kerawang flora dimuatkan dalam ruang tamu dengan konsep rumah ladang Inggeris.

"Ruang yang menempatkan perabot atau aksesori dekorasi dengan sentuhan ala King Louis itu menonjol dan menjadi titik fokus dalam rumah terbabit.

"Pendek kata sinergi persekitaran lebih segar dan tidak bosan kerana ada nilai tambah dengan tata hias sedikit berbeza dari konsep sedia ada," katanya.

Bagi memperkenalkan elemen King Louis atau konsep monarki Eropah itu terhadap pemilik rumah tempatan, Haziq bermula dengan motif atau rekaan lebih minimum.

WARNA putih memberi gaya lebih sederhana pada sentuhan perabot bergaya mewah.
WARNA putih memberi gaya lebih sederhana pada sentuhan perabot bergaya mewah.

"Perkenalan dalam tata hias kediaman untuk pemilik rumah di sini, saya tidak lakukan secara drastik dan hanya membabitkan sebahagian kecil.

"Maklumlah masyarakat kita lebih berhati-hati dalam sesuatu konsep baharu. Saya biasa perkenalkan dengan idea untuk cermin dinding dahulu.

"Pendekatan saya adalah beri cadangan menerusi ilustrasi tiga dimensi dalam rekaan hiasan rumah bermula dengan aksesori cermin dinding yang ada unsur kerawang dahulu.

"Saya 'fusion' dengan gaya rumah ladang Inggeris yang mana pemilik mahu ia menjadi konsep utama.

"Permintaan pemilik yang mahu rumah dikekalkan warna putih untuk keseluruhan rumah dan saya suntik unsur monarki itu menerusi penggunaan warna emas, motif kerawang pada meja konsol dan cermin.

"Apabila pemilik lihat hasilnya, dia mengakui idea atau konsep itu berbeza dengan rekaan kebanyakan rumah ladang yang ada. Sesuatu segar, baharu dan menarik untuk mereka," katanya.

PADANAN lebih berani.
PADANAN lebih berani.

Cadangan lain, elemen atau motif klasik itu juga sesuai dipadan dengan perabot yang sedia tampil klasik atau ringkas seperti sofa chesterfield.

"Bagi yang lebih berani seperti di barat, pereka menggunakan elemen lebih 'berat' seperti mengecat dinding dengan warna skema digunakan raja itu. Antaranya jingga, hijau, merah dan banyak lagi.

"Namun sebaiknya dapatkan tip daripada pereka hiasan dalaman untuk elak padanan yang salah dalam pemilihan warna dan perabot.

"Boleh mulakan terlebih dahulu, cari cermin hiasan dan meja konsol. Untuk cermin dan meja konsol, sebaiknya cari cermin panjangnya 1.2 meter ◊ 0.9 meter.

"Meja konsolnya pula bersaiz 1.8 meter panjang untuk diseimbangkan dengan cermin hiasan tadi," katanya turut menyarankan bunga atau kaki lilin sebagai penyeri.

Dalam berkongsi cabaran lain kata Haziq, ketika ini perabot dan aksesori untuk motif terbabit sukar diperoleh dan mahal.

"Atas faktor trend King Louis ini masih baharu, pilihan perabot atau aksesori agak terhad berbanding di luar negara.

"Saya sendiri terpaksa buat rekaan cermin sendiri untuk ada permintaan. Kos juga meningkat sebab tidak banyak dalam pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 6:30 AM