TEMA mewah moden yang berjaya diterjemahkan.
TEMA mewah moden yang berjaya diterjemahkan.
Hafiz Ithnin


Kemasan dinding berjubin sememangnya menjadi idea terbaik untuk menghasilkan sebuah karya hiasan dalaman yang menonjolkan elemen mewah persis di sebuah lobi hotel.

Namun, ia perlu digarap secara kreatif untuk menjadikan gaya mewah itu tidak kelihatan berlebihan supaya seimbang dengan aksesori, perabot dan pencahayaan yang ada di dalam sesebuah kediaman.

Ternyata hasil sentuhan dan ilham kreatif pereka hiasan dalaman adalah untuk menterjemahkan idea mewah itu menjadi apabila menggarapkan kesemua elemen dengan seimbang.

Penulis yang melihat hasil hiasan dalaman bertemakan mewah moden itu juga dapat merasai aura yang ingin disampaikan pereka hiasan dalaman, Nurlailah Khadijah Awaluddin kepada sebuah kediaman teres dua tingkat terletak di Rawang, Selangor.

Nurlailah berkata, sebaik sahaja menemui pemilik kediaman berkenaan iaitu pasangan suami isteri, yang mahukan sebuah kediaman mempunyai aura seperti di dalam sebuah hotel.

Jelasnya, apabila mendengar mengenai impian itu, dia mula terfikir mengenai elemen jubin berkilat yang banyak digunakan di dalam hiasan dalaman sebuah hotel lima bintang terutama di bahagian lobi.

"Saya banyak membuat kajian dan tinjauan mengenai kesan jubin apabila diletakkan di dalam sesebuah kediaman. Ia ternyata memberi kesan yang sangat mewah tetapi tidak semua ruang boleh diletakkan hiasan berkenaan.

"Jadi, saya memilih sebuah dinding utama di ruang tamu yang mampu menjadi titik fokal sebaik sahaja pemilik atau tetamu memasuki kediaman itu. Malah, saya menggarapkan juga di sisinya dengan dua kabinet dan panel hiasan kayu supaya menghidupkan lagi karya artistik di bahagian itu," katanya.

Katanya, dia diberi tugasan untuk menyiapkan empat ruang di dalam kediaman berkenaan membabitkan ruang tamu, ruang makan, bilik tidur utama dan laluan masuk.

"Semua ruang berkenaan diminta pelanggan untuk diwujudkan suasana mewah. Pada masa sama, saya gemar untuk menghias dalaman kediaman yang bukan sekadar nampak cantik malah mempunyai fungsi kepada si pemilik kediaman.

"Saya menyiapkan keseluruhan ruang untuk dihias semula hanya dalam masa seminggu. Ia termasuk untuk mendapatkan perabot tempahan khas, aksesori dan pemasangan kabinet serta lampu," katanya.

Bercerita mengenai konsep mewah itu lagi, katanya selain elemen jubin yang dijadikan titik fokal di dinding, aksesori berona emas gelap antara yang digarapkan di dalam kediaman itu.

HIASAN jubin di bilik tidur yang menjadi titik fokal.
HIASAN jubin di bilik tidur yang menjadi titik fokal.

"Pemilihan cahaya lampu juga amat penting kerana ia akan memberi kesan secara menyeluruh kepada hiasan di dalam kediaman itu. Meskipun limpahan lampu jingga berkait rapat dengan tema kemewahan tetapi dari segi praktikalnya akan menyakitkan mata dan terasa panas.

"Jadi, saya memilih limpahan lampu yang tidak terlalu gelap dan tidak terlalu terang supaya penghuni dapat menikmati keindahan hiasan dalaman dan pada masa sama merasa selesa berada di dalam ruang berkenaan," katanya.

Dari segi perabot, Nurlailah memilih perabot yang lebih moden supaya dapat menonjolkan tema mewah moden yang diinginkan. Perabot utama seperti sofa adalah tempahan khas.

"Memandangkan kediaman ini adalah gabungan mewah dan moden. Jadi, saya memilih perabot yang lebih moden berserta dengan warna yang lebih lembut sesuai dengan gaya moden terkini.

"Pemilihan warna perabot juga amat penting kerana ia boleh memberi kesan kepada kesinambungan dan keseimbangan hiasan dalaman di dalam sesuatu ruang. Warna lembut perabot dilihat lebih sesuai kerana ingin dipadankan dengan hiasan jubin di dinding," katanya.

Di bahagian bilik tidur utama pula, Nurlailah menggunakan ruang yang besar itu dengan mewujudkan sebuah ruang menyimpan pakaian atau bilik pakaian supaya keadaan di dalam bilik lebih nampak teratur.

"Memandangkan bilik utama agak besar, saya melihat ia boleh dijadikan sebahagiannya sebagai bilik menyimpan pakaian. Jadi, keadaan di ruang tidur tidak akan terganggu dengan helaian pakaian," katanya.

Bagi Nurlailah, untuk menggunakan khidmat juruhiasan profesional, si pemilik perlu mempunyai tema yang jelas untuk juruhiasan dalaman merealisasikan impian mereka.

"Malah perbincangan juga penting supaya di akhirnya, kita dapat menghasilkan sebuah karya seni yang menarik dan kedua-dua pihak berpuas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 7:00 AM