GABUNGAN dinding cat jalinan sentuh dan perabot berwarna terang yang menarik.
GABUNGAN dinding cat jalinan sentuh dan perabot berwarna terang yang menarik.
Hafiz Ithnin


DUNIA hiasan dalaman bagaikan sebuah pentas peragaan fesyen yang sentiasa ada tukar gantinya.

Jika dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, pastinya reka hias bersandarkan konsep industri menjadi gaya pilihan kebanyakan pemilik. Ia dikatakan menampakkan personaliti pemiliknya yang gemarkan ruang dan serba ringkas.

Namun menginjak tahun 2020, nampaknya idea kontemporari dalam hiasan menjadi unjuran penyelidik dan pakar profesional industri itu terutama bermain warna lebih ‘bulat’ serta menonjolkan perhiasan dalaman yang berskala besar.

Pensyarah Kanan Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, gaya hiasan industri bukan menjadi pilihan lagi pada tahun ini kerana menerusi tinjauannya di beberapa lokasi di Eropah terutamanya menunjukkan kebanyakan pereka hiasan dalaman mula mewujudkan kembali elemen keberanian dan menonjolkan seni.

Beliau berkata, jika sebelum ini kebanyakan dari segi warna tertumpu kepada satu bahagian dinding yang menjadi titik fokal tetapi pada tahun ini kebanyakan pemain industri profesional mula mematikan elemen itu.

“Warna lebih tampak mewah seperti ‘royal blue,’ kuning keemasan dan hijau gelap menjadi pilihan untuk diwarnakan di seluruh ruang berbanding sebelum ini hanya satu bahagian dinding sahaja menjadi fokus pemilik kediaman.

“Apabila menggunakan warna mewah seperti itu, aksesori atau perabot yang diketengahkan juga dimainkan dalam bentuk berskala besar atau memiliki warna yang lebih menonjol,” katanya.

Pakar itu berkata, lampu siling besar, lampu lantai, lukisan abstrak penuh warna-warni dan perabot mempunyai warna terang antara yang menjadi perhatian pada tahun ini.

KEBERANIAN memadankan warna perabot yang menonjol mampu menghasilkan gaya hiasan yang memukau.
KEBERANIAN memadankan warna perabot yang menonjol mampu menghasilkan gaya hiasan yang memukau.

“Jika sudah terdapat penonjolan pada warna dan perabot, kebanyakan pemain industri profesional menggunakan bidai yang lebih tampak ringkas di bahagian tingkap.

“Memandangkan pada masa kini, elemen kelestarian menjadi perhatian kebanyakan pemaju kediaman yang menggunakan cermin telus cahaya berskala besar di bahagian tingkap dan mempunyai pemandangan lebih

privasi, penggunaan tirai tidak lagi menjadi pilihan kerana ia membenarkan pencahayaan semula jadi masuk ke dalam rumah,” katanya.

Ditanya mengenai konsep menggunakan kertas dinding untuk hiasan rumah, Dr Mohd Zairul berkata, elemen itu juga tidak menjadi pilihan kerana pemain industri profesional lebih gemar menggarapkan seni mengecat berunsur jalinan sentuh pada permukaan dinding.

“Teknologi dalam jalinan sentuh juga semakin berkembang dan pemilik kediaman juga boleh membeli peralatan untuk membuat membuat sendiri di rumah jika yakin bagi menghasilkan satu seni dinding yang menarik,” katanya.

DINDING yang dicat sepenuhnya tanpa wujud bahagian titik fokal.
DINDING yang dicat sepenuhnya tanpa wujud bahagian titik fokal.

Bagaimanapun, pakar itu menjelaskan, meskipun gaya hiasan dalaman rumah yang dilihat lebih berani tahun ini, pemilik kediaman juga perlu mempunyai cita rasa sendiri dalam menyuai padan warna, perabot dan aksesori.

“Hiasan dalaman mencerminkan personaliti individu,” katanya ringkas.

Tidak sekadar itu, pakar itu juga melihat reka letak pokok hidup yang memberi manfaat kepada penghuni kediaman juga terus menjadi ikutan sepanjang tahun ini kerana masyarakat di negara ini semakin peka isu kelestarian alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:10 AM