GAYA kontemporari antara konsep dekorasi pilihan ramai yang menyerlahkan keunikan tersendiri sesebuah rumah.
GAYA kontemporari antara konsep dekorasi pilihan ramai yang menyerlahkan keunikan tersendiri sesebuah rumah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Gaya kontemporari antara konsep dekorasi pilihan ramai yang menyerlahkan keunikan tersendiri sesebuah rumah.

Ia bukan sahaja dapat memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada, malah pada masa sama membantu menampakkan ruang rumah lebih luas dan kemas.

Pereka Dalaman Rica Studio, Erin Azmi berkata, konsep kontemporari mempunyai peminat tersendiri kerana memenuhi keperluan dan kemasan yang memuaskan hati pemilik rumah.

Kata Erin, kebiasaannya konsep dekorasi rumah dipengaruhi gaya hidup atau minat penghuninya.

"Konsep dekorasi kontemporari menerapkan beberapa gabungan ciri-ciri rekaan antaranya kesederhanaan, 'clean lines,' tidak terlalu menonjol serta banyak permainan warna dan tekstur terutama pada dinding.

"Gaya dekorasi berkonsepkan kontemporari paling disarankan untuk rumah jenis pangsapuri yang memiliki keluasan terhad kerana ia dapat membantu menyusun ruang dan memaksimumkan tempat penyimpanan barang peribadi," katanya.

Mengulas lanjut Erin berkata, konsep itu juga memiliki banyak kelebihan antaranya mudah disuai padan dengan barangan dekorasi baharu di pasaran.

MEMANFAATKAN sepenuhnya ruang, malah pada masa sama membantu menampakkan ruang rumah lebih luas dan kemas.
MEMANFAATKAN sepenuhnya ruang, malah pada masa sama membantu menampakkan ruang rumah lebih luas dan kemas.

Selain itu, barangan hiasan yang digunakan juga tidak semahal mana dan masih dalam lingkungan harga mampu dimiliki.

Untuk pemilihan perabot pula, bagi rumah jenis pangsapuri, Erin mencadangkan supaya menggunakan sofa jenis L shape dan barangan hiasan lain yang tidak terlalu besar, rekaan moden dan mengikut tema bersesuaian.

"Dari segi pemilihan warna pula, konsep kontemporari biasanya menggunakan rona tenang untuk keseluruhan ruang.

"Namun, di beberapa bahagian tertentu rumah yang dijadikan sebagai titik tumpuan atau 'feature wall', warna atau elemen yang lebih 'emphasis' boleh digunakan.

"Ada juga pemilik rumah yang menggunakan cat yang bertekstur atau panel bergalur untuk menyerikan ruang tumpuan di rumah mereka," katanya.

Menurut Erin lagi, konsep kontemporari juga boleh diaplikasikan di semua ruang dalam rumah bagi mencapai kesan dekorasi yang lebih menyeluruh.

CAT yang bertekstur atau panel bergalur juga sesuai digunakan untuk menyerikan lagi ruang tumpuan di rumah.
CAT yang bertekstur atau panel bergalur juga sesuai digunakan untuk menyerikan lagi ruang tumpuan di rumah.

Katanya, konsep hiasan itu juga menjadi pilihan golongan muda kerana mudah dijaga kerana mempunyai sifat kesederhanaan dan 'clean linse' yang diterapkan dalam setiap barangan serta perabot.

"Berbanding konsep dekorasi dalaman lain, konsep kontemporari sentiasa mendapat sambutan kerana ia selari dengan peredaran zaman.

"Tambahan pula, industri perabot turut memainkan peranan penting dan sentiasa mengeluarkan rekaan baharu yang dapat disesuaikan dengan konsep itu," katanya.

Sementara itu, bagi pemilik rumah jenis pangsapuri atau pasangan baharu berkahwin yang menetap di rumah teres biasa, Erin turut mencadangkan dekorasi kontemporari sebagai pilihan untuk menghiasi rumah mereka.

Ini kerana konsep itu tidak memerlukan penjaga yang rapi selain mempunyai nilai estetika gaya yang tersendiri.

 KONSEP kontemporari juga sesuai untuk bilik tidur.
KONSEP kontemporari juga sesuai untuk bilik tidur.

"Apa pun, sebelum menggunakan konsep itu, pemilik rumah digalakkan mendapatkan gambaran awal untuk memenuhi cita rasa masing-masing.

"Elakkan juga daripada melakukan sebarang pengubahsuaian atau kerja dekorasi sebelum memahami sepenuhnya keperluan gaya konsep itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 7:00 AM