KEDIAMAN yang selesa untuk seisi keluarga.
KEDIAMAN yang selesa untuk seisi keluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


GABUNGAN idea dan minat pasangan suami isteri ini terhadap seni hiasan dalaman berjaya menghasilkan dekorasi menarik untuk syurga kecil mereka.

Biar berdepan kekangan masa, Nor Farahin Amirullah dan suami, Mohamad Amirrul R Azmitetap mencari ruang menyiapkan dekorasi ruang tamu yang menjadi impian mereka selama ini.

Nor Farahin berkata, selain siling plaster, semua dekorasi di ruang tamu kediaman itu dihasilkan sendiri oleh dia dan suaminya.

Katanya, dia bersyukur kerana suami yang mempunyai minat dan kemahiran kerja halus banyak membantu dalam mencantikkan lagi dekorasi dalaman rumah mereka.

"Sebaik mendapat kunci rumah dua tahun lalu, perkara pertama yang kami lakukan adalah mengupah kontraktor melakukan ubah suai di bahagian dapur dengan memasang kabinet.

Oleh kerana saya menggemari konsep rumah ladang untuk bahagian dapur, maka rona hijau lembut menjadi pilihan untuk melatari kabinet dapur.

Selain itu, disebabkan saya menyukai meja pulau di ruang dapur, suami juga mengambil inisiatif membuatnya sendiri daripada kayu nyatoh dan secara keseluruhan memang saya berpuas hati dengan hasilnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nor Farahin, untuk ruang tamu pula, dia dan suami bergabung idea serta tenaga menghasilkan dekorasi 'accent wall' di dinding utama.

Katanya, 'accent wall' menjadi pilihan kerana ia adalah rekaan dan trend terbaharu dalam dekorasi dalaman rumah ketika ini.

"Bagi memastikan ruang dinding lain tidak dibiarkan kosong, kami juga menghasilkan dekorasi 'pattern wall'dari ruang tamu hingga ke

pintu masuk.

"Dekorasi 'accent wall' dan 'pattern wall' itu menggunakan rona biru lembut dan biru pekat iaitu warna kegemaran suami, " katanya.

Pengusaha perniagaan hiasan dekorasi dinding itu berkata, sebelum berpindah ke rumah teres dua tingkat di Rawang, Selangor itu, dia dan suami menyewa sebuah pangsapuri di ibu negara.

MEJA pulau hasil kerja tangan suami Nor Farahin.
MEJA pulau hasil kerja tangan suami Nor Farahin.

Impiannya untuk menghias rumah menjadi kenyataan apabila Allahmemberikan mereka rezeki memiliki kediaman sendiri.

"Untuk menghiasi kediaman ini, saya dan suami banyak mendapatkan idea daripada media sosial sertalaman sesawang dekorasi.

"Oleh kerana kami masing-masing tidak menggemari kehadiran perabot yang banyak, maka apa yang sesuai dengan konsep dan bajet, kami ambil serta praktikkan.

"Konsep di ruang tamu bertemakan moden kontemporari jadi apa yang perlu sahaja kami gunakan supaya kediaman nampak luas dan lapang," katanya.

Sementara itu, untuk menampakkanlagi kediaman yang lebih luas, Nor Farahin berkata, mereka memasang hiasan cermin di ruang makan.

Katanya, cermin ala 'grand mirror' itu juga memberikan kesan pencahayaan yang baik di sekitar ruang berkenaan.

"Meskipun kami tidak menggunakan meja makan mewah namun ia tetap menjadi ruang kegemaran saya secara peribadi.

"Meja makan itu memiliki nilai sentimental kerana ia adalah perabot pertama yang dibeli selepas kami berkahwin dan sudah banyak berjasa.

"Untuk menampakkan ia kelihatan baharu, kami mengecat semula meja makan itu dengan rona putih dan memasang kertas dinding di permukaannya,"

katanya.

Jelas Nor Farahin lagi, tidak kira kecil atau besar kediaman, ia bukanlah menjadi ukuran jika mahu menghasilkan dekorasi menarik.

Apa yang penting kata Nor Farahin, perlu membuat banyak rujukan kerana mungkin ada yang sesuai dengan kediaman orang, tidak sesuai untuk rumah sendiri.

"Selepas penat bekerja, pastinya kita mahu berehat di rumah yang selesa, jadi hiaslah kediaman mengikut kreativiti dan kemampuan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 7:00 AM