BIJAK memadankan warna putih dengan hitam serta elemen warna bumi.
BIJAK memadankan warna putih dengan hitam serta elemen warna bumi.
Muhamaad Razis Ismail

PEMILIHAN warna bersesuaian melatari ruang rumah adalah elemen penting yang perlu dititikberatkan bagi mendapat impak diinginkan.

Kebiasaannya rona putih sering menjadi pilihan pemilik rumah kerana ia adalah warna paling selamat dan sesuai dipadankan dengan warna lain.

Bagi Nurain Shahirah Mohd Asri, 30, warna putih yang melatari rumah teres dua tingkat miliknya amat bersesuaian dengan konsep

Skandinavia yang diketengahkan.

Bukan itu sahaja, dia bijak memadankan warna putih dengan hitam serta elemen warna bumi untuk menghias rumahnya.

"Saya suka warna putih, hitam dan warna kayu. Jadi, saya cuba gunakan semua warna ini untuk hiasan rumah.

"Dinding warna putih dipadankan dengan campuran cat yang mempunyai rona lembut. Kebanyakan perabot berwarna putih, (warna) kayu dan hitam," katanya.

Pada masa sama, dia turut menyuntik elemen semula jadi dengan menempatkan pokok hidup dan tiruan untuk menaikkan seri hiasan dalam rumah.

Menurutnya, warna putih yang dipadankan rona lembut lain dapat menjadikan ruang nampak lebih cerah dan luas.

NURAIN Shahirah bersama suami.
NURAIN Shahirah bersama suami.

"Untuk menepati konsep Skandinavia yang didominasi warna neutral seperti putih, hitam dan coklat, saya cenderung untuk menggabungkan warna ini selain ia adalah warna kegemaran," katanya.

Di ruang dapur pula, dia menggunakan kabinet berketinggian penuh untuk menampakkan ruang itu lebih luas dan tinggi.

"Saya mengasingkan dapur basah dan kering supaya barang serta peralatan lebih tersusun. Untuk mendapat pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, tingkat besar dibina berhampiran dengan singki serta dapur.

"Ruang kecil di bahagian dapur dijadikan sebagai ruang dobi," katanya.

Sementara itu, di ruang hadapan rumah dijadikan ruang tamu dan ruang makan.

"Saya menggunakan sofa dan meja makan yang bersesuaian dari segi warna dan saiz supaya ruang ini nampak lebih luas," katanya.

Dia memanfaatkan salah satu bilik untuk dijadikan sebagai bilik solat yang diimpikan apabila memiliki rumah sendiri.

"Di bilik ini, kami inginkan lebih keselesaan dan tumpuan ketika beribadah tanpa gangguan. Menerusi rona warna lembut, dinding bilik ini dihias dengan 'batten wall', perabot dan beberapa pokok hidup untuk menaikkan seri bilik," katanya.

BILIK kerja merangkap bilik tetamu ini dihias dengan set meja dan kerusi serta sofa bed.
BILIK kerja merangkap bilik tetamu ini dihias dengan set meja dan kerusi serta sofa bed.

Tambahnya, di bilik kerja merangkap bilik tetamu pula dihias dengan set meja dan kerusi serta sofa bed.

"Urusan kerja dapat dilakukan dengan mudah dengan adanya meja khas untuk buat kerja. Untuk dekorasi dinding, saya memilih untuk buat lakukan sendiri (DIY) 'arch wall painting' dan 'DIY fluted wall'.

"Sebuah lagi bilik, saya jadikan sebagai bilik kucing," katanya.

Jelasnya, pemilihan perabot dibuat mengikut saiz ruang rumah dan warna yang bersesuaian.

"Untuk meja makan kami tersalah pilih saiz yang agak besar, tetapi dengan susun atur yang betul, ruang nampak cantik dan kemas. Langsir juga pilih warna lembut.

"Sebelum beli barang rumah, saya akan melakar dan melukis idea yang ada, ukur ruang supaya tidak tersilap pilih perabot. Jika ruang tidak besar, pemilihan warna sangat penting untuk menampakkan ruang luas," katanya.

BILIK tidur utama menggunakan warna lembut.
BILIK tidur utama menggunakan warna lembut.

DAPUR kering dan basah diasingkan supaya barang dan peralatan lebih tersusun.
DAPUR kering dan basah diasingkan supaya barang dan peralatan lebih tersusun.

Katanya, pengubahsuaian rumah dibuat secara berperingkat sejak 2021 selepas mendapat kunci.

"Disebabkan baru kahwin, bajet masih kecil untuk buat pengubahsuaian secara besar-besaran.

"Kami hanya ubah suai dapur sikit, 'batten wall' di ruang tamu dan bilik kami buat pengubahsuaian secara DIY bersama suami, Khairul Aiman Lokman, 30, dengan merujuk perkongsian daripada rakan di media sosial.

"Untuk lebih jimat, barang banyak dibeli secara dalam talian dan platform e-dagang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 7:02 AM