KEDIAMAN berkonsepkan Inggeris Moden menggunakan kombinasi rona biru dan putih.
KEDIAMAN berkonsepkan Inggeris Moden menggunakan kombinasi rona biru dan putih.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

Rona biru sememangnya diakui mendamaikan fikiran namun lebih daripada itu ia juga sesuai digandingkan dengan apa sahaja warna pastel atau bertona lembut.

Malah ia juga mudah diadaptasi dengan dekorasi dalaman yang berkonsepkan moden dan elegan.

Kombinasi itu nyata sempurna untuk mereka yang ingin mewujudkan suasana santai di kediaman.

Bagi Nurazrina Ibrahim, 28, rona biru sememangnya menjadi pilihan untuk menghiasi kediaman jenis pangsapuri projek Rumah Mampu Milik Johor yang diduduki bersama suami dan anak perempuannya sejak Julai 2019.

Dekorasi kediaman Nurazrina itu turut viral di laman sosial dan netizen jelas menyukai susun atur serta dekorasi rumah berkenaan yang dianggap kemas selain menenangkan fikiran.

Kata Nurazrina, dia menggemari rona berkenaan yang disifatkan sebagai warna yang menenangkan, moden dan selesa.

RUANG tamu yang kemas dan selesa.
RUANG tamu yang kemas dan selesa.

"Biru dan saya memang tidak dapat dipisahkan, minat kepada warna itu juga tidak mendapat halangan daripada suami.

"Namun, bagi memastikan kediaman lebih menarik, saya dan suami menggunakan kombinasi dua warna iaitu biru dan putih.

"Kami menerapkan kombinasi warna itu pada ruang tamu dan dapur bagi menjadikannya lebih santai serta mendamaikan untuk seisi keluarga," katanya.

PEMILIHAN saiz perabot penting dalam memanfaatkan ruang yang terhad.
PEMILIHAN saiz perabot penting dalam memanfaatkan ruang yang terhad.

Menurut kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) itu lagi, konsep ruang tamu kediamannya adalah ala Inggeris Moden yang minimalis dan ia jelas sesuai dengan penggunaan dua warna berkenaan.

Katanya, dia dan suami juga tidak menggunakan banyak perabot di ruang tamu mahupun keseluruhan kediaman kerana rumah itu hanyalah seluas 1,013 kaki persegi.

"Cukuplah sekadar dengan perabot asas seperti sofa, kabinet televisyen dan meja makan.

"Kami mahu memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada dan tidak mahu kediaman disesakkan dengan perabot bersaiz besar.

"Namun, untuk hiasan, wainscoting turut dipasang di bahagian bawah dinding dan ia menyerlahkan lagi gaya Inggeris Moden yang cuba ditonjolkan," katanya.

Jelas Nurazrina lagi, untuk kabinet dapur, rona hitam menjadi pilihan kerana ia bukan sahaja warna yang elegan malah dapat menyembunyikan kesan kotoran.

KABINET dapur rona gelap jadi pilihan Nurazrina.
KABINET dapur rona gelap jadi pilihan Nurazrina.

Untuk tiga bilik tidur pula, Nurazrina dan suami sepakat menggunakan rona putih kerana bagi mereka, warna itu paling sesuai untuk ruang privasi.

"Saya akui, sejak gambar kediaman kami tular di laman sosial tahun lalu, ramai yang mahu datang ke rumah untuk melihat sendiri dekorasinya dan mengambil idea.

"Namun, disebabkan rumah adalah ruang peribadi kami sekeluarga, kami tidak dapat menerima kunjungan itu.

"Cukuplah hanya keluarga atau rakan terdekat sahaja yang berkunjung untuk mencari idea dekorasi rumah mereka, " katanya.

Nurazrina berkata, tiada petua khusus dalam dekorasi melainkan perlu berani mencuba dan menggunakan sepenuhnya kreativiti yang ada.

NURAZRINA bersama suami dan anak perempuan mereka.
NURAZRINA bersama suami dan anak perempuan mereka.

Katanya, idea juga boleh diperoleh menerusi pembacaan atau rujukan daripada laman sesawang dekorasi dan mengaplikasi pada kediaman sendiri.

"Rumah umpama syurga untuk keluarga, jadi terpulang kepada kita bagaimana untuk mencorakkannya.

"Apa juga warna utama yang menjadi pilihan perlulah diseimbangkan dengan rona lembut supaya kediaman tampak lebih tenang dan selesa untuk didiami ," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 9:49 AM