KOMBINASI biru dan kelabu hasilkan suasana tenang dan tampak kemas.
KOMBINASI biru dan kelabu hasilkan suasana tenang dan tampak kemas.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEMAS dan elegan. Dua elemen utama menjadi pilihan Siti Rahayu Said, 32, dalam mendekorasi rumah impiannya yang juga menjadi fokus Dekotaman minggu ini.

Dua elemen itu digabungkan dengan konsep minimalis bagi menghasilkan dekorasi rumah yang selesa didiami untuk Siti Rahayu seisi keluarga.

Siti Rahayu yang juga peniaga makanan dari Kemaman, Terengganu berkata, rumah jenis berkembar dua tingkat itu dibeli bersama suami dan baharu sahaja diduduki dua tahun lalu.

Katanya, rumah yang memiliki empat bilik tidur dan empat bilik air itu kini turut didiami tiga anak masing-masing berusia dua hingga tujuh tahun.

"Rumah ini adalah kediaman impian kami sekeluarga dan berpeluang untuk memilikinya umpama bulan jatuh ke riba.

MEJA untuk anak belajar turut disediakan di ruang tamu.
MEJA untuk anak belajar turut disediakan di ruang tamu.

"Namun, baik saya dan suami, kami tidak berhabis banyak untuk dekorasi, semuanya dilakukan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kewangan," katanya.

Menurut Siti Rahayu, untuk ruang tamu, rona biru dan kelabu menjadi pilihan kerana kombinasi warna berkenaan mampu menyerlahkan 'mood' rumah yang lebih tenang serta tampak kemas.

Katanya, dekorasi di ruang berkenaan juga ringkas iaitu hanya disediakan sofa, meja kopi, sepohon pokok hiasan dan hamparan permaidani rona biru lembut.

"Begitu juga ruang makan untuk tetamu, kami hanya meletakkan meja makan yang dihiasi sepohon pokok hiasan kecil.

"Namun, ia tetap diserikan dengan pemasangan cermin pada dinding dengan kreativiti tersendiri suami.

REKAAN menarik yang menambah seri kawasan dapur.
REKAAN menarik yang menambah seri kawasan dapur.

"Selain itu, bagi menjimatkan kos, pemasangan 'wainscotting' di beberapa bahagian rumah ini dilakukan sendiri suami dan ia lebih murah berbanding mengupah kontraktor," katanya.

Bagi bahagian dapur pula, Siti Rahayu memilih kombinasi rona hitam dan putih kerana baginya ia tampak moden dan mudah dijaga.

Ruang asal dapur rumah itu dipecahkan dan diperbesarkan bagi pemasangan kabinet jenis konkrit dan jubin marmar.

Lebih menarik, aluan ke dapur rumah ini juga direka menarik berbentuk melengkung manakala pasangan ini turut menyediakan ruang makan khas untuk mereka seisi keluarga yang berkonsepkan rona putih.

"Rumah adalah ruang rehat untuk seisi keluarga, jadi kami sedaya upaya untuk pastikan ia selesa dan tenang untuk didiami.

RINGKAS ruang makan untuk keluarga.
RINGKAS ruang makan untuk keluarga.

"Apapun dalam menjaga kebersihan dan kekemasan rumah, kami bersyukur kerana anak-anak mendengar kata serta tidak menyepahkan barang permainan merata-rata kerana ruang bermain disediakan.

"Ia sedikit sebanyak memudahkan kerja memandangkan baik saya mahu pun suami, jarang mempunyai masa di rumah kerana masing-masing mempunyai kerjaya sendiri," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 6:30 AM