FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: InvestKL berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi berjumlah RM8.7 bilion pada 2023 yang merupakan lonjakan sebanyak 300 peratus daripada RM2.79 bilion pada 2022.

Dalam kenyataan hari ini, InvestKL yang juga agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga menyifatkan 2023 sebagai tahun paling cemerlang dengan meraih pelaburan bernilai RM29.79 bilion sejak ditubuhkan pada 2011.

"Setakat ini, 66 peratus atau RM19.74 bilion daripada pelaburan itu dapat direalisasikan yang mendorong kepada kejayaan mewujudkan lebih 27,000 pekerjaan eksekutif.

"Pada masa ini, 74 peratus daripada jawatan ini dapat diisi dan menyumbang kepada keupayaan rakyat Malaysia menikmati purata pendapatan bulanan melebihi RM14,000," katanya.

Menurut InvestKL, sebanyak 12 syarikat global terkemula dari rantau Amerika, Eropah dan Asia menerajui FDI tersebut yang menjana sebanyak 8,329 pekerjaan berkemahiran tinggi.

Jumlah itu merupakan peningkatan ketara daripada 2,805 jawatan yang diwujudkan pada 2022 dengan 81 peratus daripadanya dalam sektor digital dan teknologi.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan kemampuan Malaysia meraih FDI tertinggi bagi 2023, jelas mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan Malaysia yang dipacu oleh hala tuju dasar strategik kerajaan serta pembaharuan industri oleh MITI.

"Tumpuan kita terhadap usaha pelaksanaan juga dapat dilihat dari segi kadar purata pelaksanaan projek pelaburan sebanyak 85 peratus sejak beberapa tahun lepas dalam usaha untuk terus memenuhi perjalanan pelabur (di negara ini)," katanya dalam kenyataan berasingan.

Beliau juga menyifatkan InvestKL telah memainkan peranan penting dalam usaha menyeluruh untuk melonjakkan kelebihan daya saing Malaysia di peringkat global selain memacu ke arah masa depan yang digerakkan oleh teknologi, amalan lestari, pelaburan berkualiti tinggi serta peluang kerja mahir bagi rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata kemasukan FDI ke dalam Greater KL jelas membuktikan tarikan bandar raya itu yang merentasi pelbagai sektor seperti teknologi, penjagaan kesihatan, kewangan, kejuruteraan dan memaparkan pencapaian besar dalam usaha menarik aktiviti pelaburan bernilai tinggi.

"Strategi kita termasuk memanfaatkan peluang dalam negeri-negeri jiran bagi memperluas manfaat ini dan menyumbang ke arah masa depan mampan dan sejahtera untuk rakyat," katanya.

Beliau turut berkongsi keyakinan berterusan InvestKL terhadap usaha bagi meningkatkan Greater KL sebagai hab pelaburan strategik global.

"Sebagai agensi penggalakan pelaburan bagi Greater KL, InvestKL komited untuk menerajui usaha bagi memastikan ibu negara kekal sebagai destinasi utama bagi syarikat-syarikat yang berhasrat mengembangkan kehadiran mereka di Asia," katanya.

Azmi berkata hala tuju strategik InvestKL bagi 2024 juga memberi penekanan penting terhadap usaha menarik perkhidmatan global daripada sektor seperti digital dan teknologi, kejuruteraan, teknologi kesihatan, tenaga boleh baharu dan pembangunan modal insan yang seiring dengan Kerangka Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-12 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:10 PM