Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli.
BERNAMA

Kuala Lumpur: InvestKL berhasrat untuk menarik 10 firma multinasional (MNC) dan syarikat-syarikat berimpak tinggi bagi membawa pelaburan bernilai RM2 bilion ke Malaysia terutamanya di Greater KL, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Muhammad Azmi Zulkifli menjangkakan syarikat-syarikat berkenaan merupakan entiti yang terlibat dalam teknologi digital, perkhidmatan global dan tawaran inovatif.

InvestKL pada tahun lepas telah memperoleh pelaburan sebanyak RM2.46 bilion menerusi 13 pusat perkhidmatan global selain mewujudkan 2,281 pekerjaan eksekutif serantau, menjadikannya sebagai tahun terbaik dalam dekad sebelum ini.

"Daripada 13 syarikat yang ditarik pada 2021, 60 peratus datang dari Amerika Syarikat, United Kingdom serta Eropah, manakala baki 40 peratus adalah dari Asia," katanya pada sidang akhbar untuk berkongsi perkembangan prestasi tahunan InvestKL di sini hari ini.

Muhammad Azmi berkata pada masa ini InvestKL sedang memuktamadkan sejumlah pelaburan di Greater KL, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

"Kami berada di landasan untuk mendapatkan pelaburan dan optimistik bahawa ia akan membantu kami mencapai unjuran sasaran pelaburan sebanyak RM2 bilion tahun ini.

"Tetapi memandangkan keadaan ekonomi global, ketidaktentuan dan risiko geopolitik, kami tetap berhati-hati mengenai pelaburan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Azmi berkata sejak penubuhannya pada 2011, InvestKL telah berjaya menarik 116 syarikat pertumbuhan tinggi dalam pelbagai industri, dengan pelaburan sebanyak RM18. 3 bilion serta mewujudkan 16,392 pekerjaan eksekutif serantau.

InvestKL juga menyasarkan sejumlah RM35 bilion pelaburan secara kumulatif di Greater KL menjelang 2030.

"Pelabur mahu membina masa depan yang mampan sambil memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

"Mereka melabur dalam teknologi baharu yang akan membantu mereka berkembang secara bertanggungjawab," katanya, sambil menambah bahawa syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk meletakkan Greater KL sebagai gerbang pelaburan ke Malaysia.

Pengerusi InvestKL Datuk Seri Michael Yam berkata pelaburan yang diperoleh sejak sedekad lalu menunjukkan bahawa pelabur asing tetap yakin dengan asas-asas dan prospek pertumbuhan Malaysia yang kukuh.

"Saluran kami tetap kukuh dan kami bersedia untuk memajukan agenda mampan Malaysia dengan menyasarkan pelaburan bertahap tinggi dan khusus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 3:55 PM