MESYUARAT secara bersemuka Perdana Menteri dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovix dan TikTok memperoleh FDI berjumlah RM54.72 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.
MESYUARAT secara bersemuka Perdana Menteri dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovix dan TikTok memperoleh FDI berjumlah RM54.72 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Kuala Lumpur: Malaysia berjaya memperoleh RM2.78 bilion potensi eksport selain daripada RM63.02 bilion komitmen pelaburan langsung asing (FDI) dari Amerika Syarikat (AS), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ia diperoleh ketika Misi Perdagangan dan Pelaburan MITI ke AS (TIM USA) serta mesyuarat secara bersemuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan syarikat AS yang diadakan pada 15 November 2023 di San Francisco.

TIM USA, terdiri wakil peringkat tinggi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) diadakan dari 6 hingga 13 November 2023, meliputi Chicago, Seattle dan San Francisco.

Kedua-dua acara itu mengutamakan teknologi tinggi, FDI bernilai tinggi, sementara TIM USA juga memberi tumpuan kepada eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai tinggi.

Mesyuarat secara bersemuka Perdana Menteri dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovix dan TikTok memperoleh FDI berjumlah RM54.72 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Malaysia juga sedang giat menarik pemain kenderaan elektrik (EV), termasuk Tesla.

TIM USA diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperoleh komited FDI RM8.3 bilion daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services dan Lam Research.

Syarikat itu berada dalam sektor seperti aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik (E&E) (termasuk semikonduktor), farmaseutikal, teknologi bateri EV, peralatan perubatan, sains hayat, perkhidmatan awan dan logistik.

Bagi eksport, Canadian Tyre Corporation, Global Agri Trade Corporation dan Unigen Corporation adalah antara syarikat yang komited dengan nilai gabungan sebanyak RM2.78 bilion eksport dari Malaysia.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat berbesar hati lawatan ke AS yang berjaya membawa pulang komitmen FDI baharu RM63.02 bilion dan komitmen eksport RM2.78 bilion dari Malaysia.

Beliau berkata, perkara yang sama penting ialah pengetahuan dan kepakaran yang dibawa syarikat itu untuk meningkatkan kerumitan ekonomi landskap pembuatan Malaysia seperti ditetapkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Ini membantu menjana limpahan nilai lebih tinggi perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita serta pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi lebih baik untuk rakyat.

"MITI juga akan memastikan projek FDI yang dicadangkan dipermudahkan dengan betul, melalui platform bertumpu pelaksanaan seperti Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan dan Perdagangan dan Majlis Pelaburan Negara," katanya.

Pada 2022, perdagangan dua hala Malaysia dan AS berjumlah RM267.58 bilion, mewakili peningkatan 23.3 peratus tahun ke tahun.

AS juga adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia serta destinasi eksport ketiga terbesar.

Produk E&E Malaysia membentuk peratusan terbesar atau 57.4 peratus daripada jumlah nilai eksport ke AS yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan baik untuk mengembangkan sektor bernilai tinggi lain yang juga banyak bergantung pada cip dan semikonduktor.

Sehingga 2022, nilai bersih FDI Malaysia dalam stok dari AS ialah RM100.84 bilion dengan RM77.74 bilion (77.1 peratus) daripada jumlah itu disumbangkan oleh sektor pembuatan.

Bagi tempoh 1980 hingga Jun 2023, sejumlah 1,295 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat AS telah diluluskan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM123.58 bilion dan menjana pekerjaan kepada 308,310 orang di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:00 AM