TENGKU  Zafrul (tiga dari kiri) merasmikan GDS NTP Data Center Campus di Taman Teknologi Nusajaya, Iskandar Puteri.
TENGKU Zafrul (tiga dari kiri) merasmikan GDS NTP Data Center Campus di Taman Teknologi Nusajaya, Iskandar Puteri.
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Malaysia bakal mengukuhkan kedudukan sebagai hab pusat data Asia susulan kejayaannya menarik pelaburan bernilai RM76 bilion dalam sektor itu antara 2021 hingga Mac lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kejayaan itu berikutan kelebihan Malaysia dari segi tenaga boleh diperbaharui, keluasan tanah dan ekosistem ekonomi digital yang pesat berkembang.

Katanya, ketika ini beberapa pusat data global sudah melabur dan membuka operasi pusat data mereka di negara ini membabitkan Pusat Data GDS, YTL, Yondr dan AirTrunk.

"Pusat Data GDS yang saya lancarkan di sini, contohnya melabur RM4.8 bilion bagi membangunkan pusat data berteknologi tinggi.

"Kelmarin Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga memeterai lima kerjasama strategik melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) kepada empat pusat data bagi membekalkan kapasiti 1,500 megawatt bekalan elektrik.

"Ini menandakan satu peristiwa penting dalam sektor digital Malaysia dan landskap teknologi mampan negara sekali gus akan menarik dan memudahkan pelabur global sektor itu menjalankan perniagaan di negara ini.

"Malaysia juga mempunyai kelebihan untuk berkembang dalam sektor digital kerana faktor kemudahan infrastruktur, kecekapan kos, simpanan tanah yang banyak selain sambungan lancar ke Asia dan seterusnya melalui 22 rangkaian kabel dasar laut dan 14 stesen pendaratan," katanya selepas merasmikan pembukaan GDS NTP Data Center Campus, semalam.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, ekonomi digital kini berdiri sebagai satu daripada asas ekonomi Malaysia yang utama.

Katanya, ia menyumbang nilai besar iaitu 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, atau RM348 bilion pada tahun 2021.

"Sumbangan sektor ekonomi digital ini dijangka akan mencapai 25.5 peratus menjelang 2025, atau lebih RM382 bilion.

"Bagi pasaran pusat data di Malaysia pula, unjurannya adalah lebih luar biasa, dengan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 16 peratus atau RM9.36 bilion dari 2021 hingga 2026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 8:26 AM