DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, daripada jumlah itu, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

"Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus dalam pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus dalam pelaburan asing," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2024 yang diadakan hari ini.

Perdana Menteri berkata, landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

"Secara tidak langsung, ini petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur," kata beliau.

Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut membabitkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).

Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat juga membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuh agenda pelaburan.

Ekonomi digital yang menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021, diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Bagi tempoh 2021- September 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion merangkumi projek diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan.

Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Anwar berkata, antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa negara mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

Justeru, kata beliau, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 8:05 PM