ONN Hafiz (kiri) bersama delegasi GDS Holdings Ltd diketuai Ketua Pegawai Eksekutif William Huang. FOTO ihsan Pejabat MB
ONN Hafiz (kiri) bersama delegasi GDS Holdings Ltd diketuai Ketua Pegawai Eksekutif William Huang. FOTO ihsan Pejabat MB
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Syarikat China, GDS Holdings Ltd akan membuka pusat data bernilai RM1.38 bilion di negeri ini, tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah syarikat berprestasi tinggi itu akan memanfaatkan Johor dari segi pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran modal insan tempatan.

"GDS kini sedang laksana projek fasa satu pusat datanya di Nusajaya Tech Park yang bernilai RM1.38 bilion.

"Bangunan pertama fasa ini dijangka siap untuk beroperasi pada Jun tahun depan, manakala bangunan kedua dan ketiga adalah pada suku ketiga dan suku keempat 2023," katanya dalam kenyataan media.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, GDS juga akan membawa masuk ekosistem atau 'supply chain' pusat data ke Johor, selain merancang mengadakan persidangan teknologi di sini.

"Ini sekali gus akan menaikkan lagi profil Johor sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi serantau.

"Sebagai syarikat pusat data terbesar di China, tindakan GDS melabur di sini antara lain akan memanfaatkan Johor dari segi pemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran tenaga kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 11:49 AM