Zafrul Tengku Abdul Aziz
Zafrul Tengku Abdul Aziz
Najmuddin Najib


Berlin: Biarpun Malaysia hilang kelebihannya sebelum ini seperti memiliki tenaga buruh murah kepada negara jiran termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam, namun ia bukan isyarat industrinya sudah terjejas.

Sebaliknya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia masih mempunyai kelebihan tersendiri berbanding beberapa negara jiran serantau.

Bercakap kepada media Malaysia di sini sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman, Tengku Zafrul berkata, Asean secara keseluruhannya sudah memperoleh manfaat yang besar.

Ketika ditanya sama ada Malaysia menghadapi cabaran negara Asean daripada segi mendapatkan pelaburan utama luar negara termasuk Eropah, Tengku Zafrul tidak menafikannya.

Beliau mengakui jiran Asean seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia kini menawarkan apa yang Malaysia lakukan sebelum ini seperti tenaga buruh murah.

Bagaimanapun, beliau percaya Malaysia masih menjadi pilihan kepada pelabur.

"Ya, kami memiliki persaingan di rantau ini. Berita baiknya ialah Asean sebagai rantau sudah mendapat manfaat daripada pengalihan aliran terutamanya aliran pelaburan memandangkan penjajaran semula rantaian bekalan.

"Jika kita melihat FDI (Pelaburan Langsung Asing) global sejajar dengan kelembapan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) global, FDI global turun 12 peratus sementara FDI ke Asean naik lima peratus.

"Oleh itu, Asean sebenarnya menyaksikan pertumbuhan pesat dan sudah tentu, Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya sebagai salah satu negara Asean. Namun pada masa sama, kami bersaing," katanya.

Tengku Zafrul bagaimanapun tidak percaya situasi ini adalah 'zero-sum game'.

"Biarpun katakan Vietnam atau Singapura memperoleh pelaburan, akan ada limpahan kepada Malaysia jika kita mempunyai ekosistem yang sesuai untuk menyokongnya.

"Sebagai contoh, kita sudah melihat kemajuan pusat data yang menyokong AI (kecerdasan buatan), disebabkan Singapura, kesan limpahannya juga dirasai di Malaysia.

"Begitu juga apabila kita bercakap tentang ekosistem EV (kenderaan elektrik), kita mempunyai sektor E&E (produk elektrik dan elektronik) sangat kukuh di Malaysia yang berusia lebih 50 tahun.

"Kami juga mempunyai bahagian pasaran global kukuh, di mana bahagian E&E dalam semikonduktor terutamanya dalam ujian dan pemasangan adalah lebih 12 atau 13 peratus dari pasaran global," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia masih memegang tiga kelebihan daya saingnya tersendiri.

Pertama, kata beliau, adalah ekosistem kukuh dalam sektor tertentu seperti E&E yang membantu meyakinkan syarikat untuk melabur ke Malaysia.

Kedua, katanya, adalah bakat dimiliki syarikat di Malaysia termasuk multinasional sudah dibina sejak sekain lama.

Ketiga pula, katanya, keupayaan Malaysia dalam ekonomi hijau dan ekonomi digital, sektor utama yang diharap mampu memacu pertumbuhan dan kesan limpahan kepada rakyat dan syarikat Malaysia.

"Di sinilah kita mempunyai sumber semula jadi yang kukuh. Kami mempunyai tanah dan dasar yang betul serta insentif yang kekal konsisten selama ini," katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menyatakan Malaysia perlu sedar bahawa jurang semakin mengecil dan akan bersaing dengan negara lain yang mempunyai kelebihan sama pada masa hadapan.

Tengku Zafrul antara delegasi menteri yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi enam harinya ke Jerman.

Selain program di Berlin dan Hamburg untuk menemui pelabur Jerman, Tengku Zafrul juga mengunjungi Munich untuk membincangkan potensi peluang perniagaan dengan gergasi automotif BMW serta pengeluar pesawat Airbus.

Jerman sudah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 2000, sementara Malaysia juga rakan dagang terbesar bagi Jerman di kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 2:18 PM