ANTARA kasut sekolah warna putih yang dikitar semula.
ANTARA kasut sekolah warna putih yang dikitar semula.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Apabila Malaysia mengubah peraturan mengenai warna kasut sekolah standard di sekolah kebangsaan dari warna putih ke hitam, ia menyebabkan bekalan kasut kanvas putih melebihi permintaan di seluruh negara.

Bagi mengelakkan kasut berkenaan terbuang begitu saja, peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, Kumpulan MR DIY (M) Berhad, mencipta idea yang inovatif membabitkan murid sekolah dalam proses mengitar semula (upcycling) dan memberi nafas baharu kepada kasut terbabit.

Inisiatif Walk with Style MR DIY adalah kerjasama dengan Soroptimist International Damansara (SID), menyaksikan lebih 750 murid dari Selangor, Perak, Kedah dan Kuala Lumpur menggunakan bekalan peralatan seni dari MR DIY untuk mencipta pelbagai jenis kasut sekolah yang menyeronokkan dan bergaya dengan rekaan unik dan tersendiri.

Murid terbabit semua berasal dari Pusat Pembelajaran Edufun, Ipoh, Perak, Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah, Rumah Aman Sungai Buloh, Selangor, Pusat Pembelajaran Komuniti Pelarian Myanmar (MRCLC) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sukarelawan dari MR DIY Cares dan Soroptimist International turut membantu dan memberi panduan kepada murid dan MR DIY juga menyediakan peralatan seni seperti pen penanda. (marker pen), cat, berus lukis, aksesori dan serbuk kilat.

Secara keseluruhan, 750 pasang kasut sekolah putih sukar dikitar semula dengan corak lebih segar.

Mengulas mengenai usaha ini, jurucakap dari MR DIY berkata, matlamat kumpulan adalah untuk menjadi perniagaan mampan yang memberi impak positif pada komuniti di mana syarikat beroperasi.

"Sebahagian daripada usaha ini adalah dengan memainkan peranan dalam mendidik rakyat Malaysia mengenai keperluan untuk mengguna semula, mengurangkan, mengitar semula dan mengitar tinggi.

"Inilah salah satu cara kita membina masyarakat yang mampan.

"Inisiatif seperti Walk with Style menerapkan pemahaman prinsip kelestarian dalam generasi muda kita, sambil menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, menarik dan kreatif.

"Ini selaras dengan cita-cita kami untuk membina budaya buat sendiri (DIY) yang lebih kuat dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:46 AM