Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat  Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) buat kali pertama. - FOTO Afiq Hambali/Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) buat kali pertama. - FOTO Afiq Hambali/Pejabat Perdana Menteri.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengambil pendekatan merangka Belanjawan 2023 yang mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini berkata Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini pada hari ini menekankan bahawa langkah tersebut akan dilaksanakan walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global.

Menurutnya, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 dengan nisbah khidmat hutang dijangka melebihi 15 peratus daripada hasil.

Sementara itu, pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada 2023.

"Maka, Belanjawan 2023 akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.

"Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia MADANI supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat," kata Pejabat Perdana Menteri.

Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari ini.

Menurut PMO, kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan kerajaan juga komited melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK terkawal.

Belanjawan 2023 akan turut merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakeloka kerajaan.

"Belanjawan ini juga akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur luar bandar," katanya.

Jawatankuasa Dasar Fiskal dibentuk bertujuan untuk meneliti fiskal kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana dan dianggotai antaranya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:57 PM