DALAM  ruang fiskal yang terhad, kerajaan perlu menilai semula strategi perbelanjaannya dan pada masa yang sama masih merangsang aktiviti ekonomi bagi rakyat tempatan termasuk asing. FOTO Genes Gulitah
DALAM ruang fiskal yang terhad, kerajaan perlu menilai semula strategi perbelanjaannya dan pada masa yang sama masih merangsang aktiviti ekonomi bagi rakyat tempatan termasuk asing. FOTO Genes Gulitah
BERNAMA

AHLI ekonomi berpendapat Belanjawan 2023 yang disemak semula perlu memberikan lebih kejelasan mengenai proses penyatuan fiskal negara susulan pembaharuan dasar cukai serta subsidi yang diberikan kepada rakyat dan pelan kerajaan mengenai pelaksanaannya.

Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, belanjawan itu yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, perlu terus memfokus kepada bidang utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur serta pada masa sama memastikan ia mesra perniagaan.

"Peruntukan perlu dibuat supaya kita boleh berbelanja ke arah pembinaan kapasiti untuk jangka masa panjang, tetapi memandangkan ruang fiskal yang terhad, kerajaan perlu menilai semula strategi perbelanjaannya dan pada masa sama masih merangsang aktiviti ekonomi bagi rakyat tempatan termasuk asing," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, hutang kerajaan yang secara keseluruhannya adalah dalam denominasi ringgit, membentangkan peluang yang rendah kepada kerajaan untuk mungkir hutang mata wang sendiri memandangkan ia agak fleksibel bagi menaikkan hutang.

Katanya, di samping itu, Malaysia mempunyai institusi yang besar seperti dana pencen serta bank-bank, yang mana, institusi ini akan terus melanggan sekuriti kerajaan yang dianggap sangat cair dan selamat daripada segi kredit.

Belanjawan 2023 terdahulu dibentangkan pada 7 Oktober lalu oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan jumlah peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

Afzanizam ketika mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan meningkatkan pendapatannya, menjelaskan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terus menjadi topik perbincangan umum, ia bukan masa yang sesuai untuk mengenakan kembali cukai itu.

"Tetapi jika ia benar mahu dilaksanakan, kajian semula perlu dibuat ke atas cukai itu dan melihat masalah-masalah yang dikaitkan dengan GST supaya apabila mereka mahu mengenakannya kembali, perniagaan akan lebih mudah mematuhi rejim cukai berkenaan.

"Sejak dari dahulu kita dapat lihat kutipan GST adalah sangat memberangsangkan dan ia menunjukkan hasil yang baik tetapi ada juga isu berkaitan dengan cabaran seperti tuntutan kredit cukai input, sesetengah GST yang berkadar sifar, ada yang berkadar standard dan dikecualikan GST sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat perniagaan.

"Jadi dengan andaian bahawa GST mahu dilaksanakan semula pada masa akan datang, mungkin kita boleh mulakan pada paras yang agak rendah iaitu dalam lingkungan tiga hingga empat peratus dan ia akan diselaraskan dari semasa ke semasa," katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan peruntukan di bawah Belanjawan 2023 'dikurangkan' tanpa mengabaikan program pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 6:05 AM