ANWAR Ibrahim. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, esok.

Perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian yang lain telah dilaksanakan dalam tempoh lapan hari bermula 16 Oktober, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memberikan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang diumumkannya ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas termasuk pelaksanaan dasar gaji progresif.

Beliau dijangka menggariskan mekanisme bagi sistem gaji progresif itu.

Sesi penggulungan esok juga akan menyaksikan Perdana Menteri menjelaskan usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk melaraskan semula ekonomi negara ke arah yang lebih kukuh, merancakkan sektor perniagaan serta mencapai keseimbangan sokongan fiskal dan perbelanjaan berhemat.

Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia, dengan RM303.8 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Antara inti pati Belanjawan 2024 adalah defisit fiskal 2024 diunjurkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada sasaran 5.0 peratus pada tahun ini.

Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac, 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 10:56 PM