Wisma FGV.
Wisma FGV.
BERNAMA

Kuala Lumpur: FGV Holdings Bhd (FGV) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM374.02 juta bagi suku kedua berakhir pada Jun 2022 daripada RM338.82 juta setahun sebelumnya, didorong oleh prestasi kukuh perniagaan perladangan.

Perolehan hasil melonjak 59 peratus kepada RM7.43 bilion daripada RM4.68 bilion pada setahun sebelumnya susulan pertumbuhan hasil ladang sebanyak 31.4 peratus kepada RM620.82 juta daripada purata harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM5,254 satu tan dalam suku di bawah kajian berbanding RM3,333 satu tan bagi tempoh sama 2021.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata sektor terbabit turut mencatat caj nilai saksama membabitkan perjanjian pajakan tanah (LLA) sebanyak RM57.85 juta berbanding keuntungan nilai saksama sebanyak RM180.35 juta dalam suku sama tahun sebelum ini.

Dari segi operasi, pengeluaran tandan buah segar (TBS) berkurangan kepada 960,000 tan daripada 1.06 juta tan, hasil susut kepada 3.50 tan sehektar pada suku semasa manakala kadar perahan minyak meningkat 20.63 peratus daripada 20.16 peratus, sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah hasil daripada segmen logistik dan lainnya merosot 30.4 peratus kepada RM14.02 juta akibat kerugian rosot nilai belum terima sebanyak RM7.13 juta.

Perniagaan gula pula menguncup 100 peratus kepada RM23.88 juta berikutan kenaikan kos input terutamanya gula mentah, pengangkutan, gas asli dan penyusutan ringgit walaupun purata harga jualan keseluruhan meningkat.

Bagi tempoh separuh pertama, keuntungan bersih melonjak kepada RM743.26 juta daripada RM303.40 juta pada setahun lepas manakala perolehan hasil menokok kepada RM13.28 bilion daripada RM8.08 bilion sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Nazrul Izam berkata berdasarkan prestasi separuh pertama itu, FGV berada di landasan tepat untuk mencatat trajektori pertumbuhan dan kekal optimis terhadap usaha bagi mencapai sasaran tahun ini.

Kumpulan tersebut telah mengumumkan dividen interim sebanyak 4.0 sen sesaham bagi suku berakhir 30 Jun 2022 dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM145.93 juta yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang 29 September 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 5:01 PM