FGV Holdings Berhad (FGV).
FGV Holdings Berhad (FGV).
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd (FGV) meningkat kepada RM1.32 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 daripada RM1.17 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan sumbangan lebih baik daripada logistik perniagaannya.

Hasilnya melonjak kepada RM25.56 bilion pada 2022 berbanding RM19.57 bilion, kata FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

FGV berkata, keuntungan dalam bahagian perladangan melonjak kepada RM2.1 bilion untuk tahun kewangan 2022 daripada RM1.6 bilion dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh harga purata MSM lebih tinggi iaitu RM4,832 setan metrik berbanding RM3,671 satu tan metrik direkodkan dalam tahun kewangan sebelumnya, ditambah dengan volum jualan lebih tinggi sebanyak 19 peratus.

"Prestasi lebih baik itu turut disumbangkan oleh peningkatan margin dalam perniagaan hiliran dan baja serta dirangsang oleh bahagian keuntungan daripada usaha sama berjumlah RM17.26 juta kepada RM106.08 juta pada tahun kewangan semasa," katanya.

Bagaimanapun, sebahagian keuntungan bagi bahagian itu terjejas oleh caj nilai saksama yang lebih tinggi ke atas perjanjian pajakan tanah sebanyak RM352.87 juta berbanding RM3.98 juta didaftarkan pada tahun sebelumnya, katanya.

FGV berkata, pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat sedikit kepada 3.99 juta tan metrik daripada 3.98 juta tan metrik sekali gus membawa kepada hasil lebih tinggi sebanyak 14.57 tan metrik sehektar.

Bagi bahagian logistik, keuntungan melonjak sebanyak 31 peratus tahun ke tahun disebabkan oleh kadar pengendalian yang lebih tinggi, katanya.

Bagi suku terakhir, FGV mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM337.71 juta berbanding RM465.09 juta pada suku yang sama 2021, manakala hasil berkurangan 1.0 peratus kepada RM6.1 bilion daripada RM6.17 bilion sebelumnya.

Sementara itu, FGV dalam satu kenyataan berkata keuntungan operasinya mengukuh 27 peratus tahun ke tahun kepada RM2.33 bilion semasa tahun kewangan 2022, paras tertinggi sejak penyenaraiannya pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 4:31 PM