GAMBAR hiasan. Wisma FGV di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Wisma FGV di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2022 mula pulih untuk dicatatkan pada angka RM369.24 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM35.42 juta semasa suku pertama 2021.

Keuntungan ini disumbangkan oleh margin produk sawit, segmen hiliran, perniagaan baja dan logistik yang lebih tinggi.

Perolehan melonjak kepada RM5.85 bilion dalam suku yang ditinjau daripada RM3.39 bilion sebelumnya di tengah-tengah purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, kata syarikat perladangan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Keuntungan dalam sektor perladangan naik kepada RM517.87 juta berbanding kerugian berjumlah RM52.80 juta sebelum ini.

"Ini disebabkan oleh purata harga MSM yang lebih baik sebanyak RM5,058 satu tan daripada RM3,172 satu tan yang direkodkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya," kata FGV.

Keuntungan dalam sektor perladangan juga menokok dengan peningkatan kuantiti jualan MSM iaitu 28 peratus.

"Prestasi sektor yang agak memberangsangkan ini disokong oleh perniagaan hiliran serta baja dan bahagian hasil yang lebih positif daripada usaha sama iaitu RM22.89 juta berbanding RM2.17 juta dahulu," katanya.

Keuntungan sektor perladangan sebahagiannya telah diimbangi oleh caj nilai saksama yang lebih tinggi ke atas perjanjian pajakan tanah sebanyak RM159.14 juta daripada RM143.75 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Mengulas mengenai segi operasi, pengeluaran tandan buah segar (FFB) bertambah kepada 0.83 juta tan daripada 0.74 juta tan manakala hasil menokok kepada 3.02 tan sehektar, katanya.

Kadar perahan minyak yang dicapai pada suku semasa adalah 20.28 peratus, lebih baik daripada 20.05 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2021.

"Kami agak teruja bagi mengumumkan satu lagi suku yang menguntungkan di tengah-tengah ketidaktentuan dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan.

"Kami akan berusaha untuk mengekalkan momentum positif ini dalam memenuhi jangkaan pihak berkepentingan kami serta bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk 2022," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Nazrul Izam Mansor dalam satu kenyataan berasingan.

Sementara itu, sektor gula FGV mencatatkan kerugian sebanyak RM30.78 juta pada suku pertama 2022 daripada RM50.68 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan oleh margin kasar yang lebih rendah disebabkan peningkatan dalam kos gula mentah, pengangkutan dan gas yang ditanggung pada suku semasa.

Sektor logistik dan lain-lain melaporkan keuntungan suku pertama 2022 yang lebih tinggi sebanyak RM21.92 juta berbanding RM13.76 juta sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 4:03 PM