SHAH Rubhen. - FOTO AMIRUDIN SAHIB
SHAH Rubhen. - FOTO AMIRUDIN SAHIB
Sri Ayu Kartika Amri


BAGI pembeli dan penjual rumah, kesukaran menentukan lokasi dan masa yang sesuai untuk membeli atau menjual kediaman adalah antara isu yang dihadapi.

Justeru, iProperty.com.my memperkenalkan iProperty Transactions Section platform pertama di Malaysia yang boleh diakses secara percuma bagi mendapatkan data transaksi hartanah paling tepat dan komprehensif.

Pengarah, Produk Malaysia iProperty.com.my, Shah Rubhen berkata, iProperty Transactions Section menyediakan data transaksi tepat dan terkini untuk hartanah kediaman sekunder, komersial, industri dan agrikultur.

Katanya, dikuasakan oleh brickz.my, pengguna boleh melihat serta-merta data transaksi 12 bulan terkini hartanah tertentu, di mana data ini boleh disaring mengikut saiz binaan, jenis hartanah, harga median, harga median bagi setiap kaki persegi dan pegangan hartanah.

"Untuk mendapatkan maklumat lebih makro, pengguna boleh mencari data transaksi jenis hartanah tertentu di negeri atau kawasan pilihan mereka.

"Selain itu, pengguna boleh melihat senarai hartanah untuk dijual dan disewa, menjadikannya lebih mudah untuk mereka membaca informasi mengenai hartanah, menyemak data transaksi dan mempertimbangkan hartanah yang disediakan dalam satu platform," katanya pada taklimat khas menangani isu penyelidikan hartanah di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengurus iProperty.com.my Malaysia, Shylendra A S Nathan.

Shah berkata, iProperty Transactions Section yang baru dilancarkan ini direka bentuk bagi memantapkan proses kajian pengguna dan membantu mereka membuat keputusan bermaklumat apabila membeli atau menjual hartanah.

Menurutnya, sebagai contoh, pembeli rumah boleh membandingkan pelbagai harga permintaan hartanah sekunder yang diiklankan di senarai hartanah dengan harga transaksi terkini bagi memberikan mereka gambaran tentang harga pembelian hartanah.

"Pada masa sama, mereka boleh mencari hartanah atau kawasan yang sesuai dengan tanda harga pilihan mereka serta penjual rumah boleh menentukan harga permintaan yang betul atau untuk berunding dengan pembeli rumah.

"Sebagai tambahan, iProperty Transactions Section membolehkan penjual rumah menganalisis trend pasaran dan data transaksi lampau bagi mengukuhkan lagi keputusan mereka.

"iProperty Transactions Section disasarkan untuk membantu pengguna dalam perjalanan mencari hartanah mereka dengan menyediakan data transaksi hartanah sebenar yang mungkin sebelum ini tidak boleh diakses, lapuk atau sukar untuk diperoleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 6:15 AM