PEMBELI muda berusia 25 hingga 34 tahun mampu membeli rumah pada harga di bawah sekitar RM438,300.
PEMBELI muda berusia 25 hingga 34 tahun mampu membeli rumah pada harga di bawah sekitar RM438,300.
Hafiz Ithnin


BEBERAPA penemuan menarik berdasarkan data pengguna LoanCare, petunjuk kelayakan pinjaman rumah diumumkan portal hartanah iProperty.com.my pada tahun lalu.

Data yang dikumpul dari 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu menunjukkan bahawa median kebolehmampuan pencari rumah ialah RM474,900 dan median ansuran pinjaman rumah ialah RM2,000.

Ia terdiri daripada pelbagai kumpulan umur dengan kebanyakan pengguna berumur antara 25 dan 34 tahun (57 peratus), diikuti pengguna berumur antara 35 dan 44 tahun (26 peratus), pengguna berumur antara 18 dan 24 tahun (10 peratus), pengguna berumur antara 45 dan 54 tahun (tujuh peratus) dan selebihnya terdiri daripada pengguna berumur 55 tahun ke atas.

Malah, data ini berdasarkan maklumat yang dikemukakan pengguna yang menggunakan LoanCare termasuk umur, jenis pekerjaan, pendapatan dan komitmen kewangan.

Selain itu, data berkenaan adalah daripada pengguna unik dan memastikan tiada titik data berlebihan oleh pengguna yang sama.

Bagaimanapun, data yang diperoleh adalah daripada pengguna unik LoanCare sahaja dan tidak mewakili keseluruhan pengguna hartanah di Malaysia.

KEMAMPUAN dalam membeli rumah menjadi kunci penting dalam sektor hartanah.
KEMAMPUAN dalam membeli rumah menjadi kunci penting dalam sektor hartanah.

Satu pertiga daripada hartanah kediaman yang baharu dilancarkan pada suku ketiga (S3) tahun lalu adalah dalam median kebolehmampuan pencari rumah muda.

Membandingkan kumpulan umur pengguna LoanCare yang berbeza pada tahun lalu, median kebolehmampuan pencari rumah muda ialah RM319,461 (18 hingga 24 tahun) dan RM438,300 (25 hingga 34 tahun).

iProperty.com.my menyatakan bahawa median kebolehmampuan mereka berada dalam lingkungan RM300,001 hingga RM500,000 iaitu 34 peratus daripada unit kediaman baharu dilancarkan pada S3 tahun lalu seperti yang dilaporkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam Laporan Ringkasan Pasaran Hartanah S3 2021.

Kumpulan pencari hartanah matang yang menggunakan Loancare merekodkan median kebolehmampuan sebanyak RM872,988 (45 hingga 54 tahun), RM667,226 (55 hingga 64 tahun) dan RM664,724 (35 hingga 44 tahun).

PENDAPATAN pembeli dan nilai jualan perlu ideal dalam hartanah.
PENDAPATAN pembeli dan nilai jualan perlu ideal dalam hartanah.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Shylendra Nathan berkata, ia adalah menggalakkan untuk melihat median kebolehmampuan pencari rumah muda berada dalam julat harga satu pertiga daripada unit baharu yang ditawarkan pada S3 tahun lalu.

"Kami teruja melihat pemaju hartanah melancarkan hartanah kediaman yang sepadan dengan permintaan pembeli rumah pertama yang biasanya mempunyai median kebolehmampuan lebih rendah.

"Memandangkan kesan Covid-19 terhadap kuasa beli rakyat, ketersediaan hartanah di pasaran yang sejajar dengan keupayaan kewangan pembeli rumah kali pertama menjadi lebih penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 6:54 AM