PANDEMIK Covid-19 memberi kesan kepada permintaan sewaan hartanah menurut iProperty.com.my.
PANDEMIK Covid-19 memberi kesan kepada permintaan sewaan hartanah menurut iProperty.com.my.
Hafiz Ithnin


PORTAL laman dalam talian hartanah, iProperty.com.my mengumumkan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Hartanah Sewa) 2020 yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai permintaan terhadap hartanah kediaman sewa menggunakan jumlah kunjungan penggunanya.

Dapatan berkenaan bersandarkan kepada data penyenaraian hartanah untuk hartanah kediaman di Malaysia yang tertumpu kepada Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Menurut laporan itu, analisis sewaan itu merangkumi empat jenis hartanah iaitu rumah teres, kondominium, pangsapuri dan apartmen servis.

Jelasnya, hasil analisis itu menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia lebih cenderung untuk menyewa kerana impak Covid-19.

"Jumlah pengguna yang berkunjung ke portal berkenaan pasca pandemik ini semakin meningkat memandangkan ramai beralih kepada platform digital untuk mencari hartanah.

"Pada Februari lalu, iProperty.com.my merekodkan jumlah pengunjung bulanan paling tinggi iaitu 10 juta pengunjung," katanya.

Laporan itu turut berkata, selain daripada mencatatkan pertambahan kunjungan tahun ke tahun sebanyak 51 peratus, iProperty.com.my turut menyaksikan peningkatan jumlah pertanyaan mengenai hartanah menerusi platformnya sebanyak 20.4 peratus pada Februari lalu berbanding tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

PANDEMIK ini menyebabkan lebih ramai orang memilih untuk menyewa.
PANDEMIK ini menyebabkan lebih ramai orang memilih untuk menyewa.

"Jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa ke iProperty.com.my turut meningkat memandangkan ramai pengguna memilih untuk menyewa kerana ketidaktentuan yang disebabkan pandemik Covid-19.

"Walaupun jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa bertambah, namun peningkatan penyenaraian hartanah kediaman sewa mengatasinya menyebabkan angka permintaan kediaman sewa negara merosot hingga 12.6 peratus," katanya.

Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada tahap peningkatan 3.3 peratus berbanding pertumbuhan 3.4 peratus pada separuh pertama tahun lalu.

Laporan itu menambah, median harga sewaan bagi kondominium berada pada RM1,800 berbanding RM1,900 separuh pertama tahun lalu.

"Manakala bagi apartmen servis pula, median harga sewaan berada pada RM1,600 berbanding RM1,700 separuh pertama tahun lalu.

KADAR sewaan dilihat menurun.
KADAR sewaan dilihat menurun.

"Permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur berada pada tahap penurunan 7.7 peratus tahun ke tahun untuk semua jenis hartanah," katanya.

Salah satu punca penyusutan ini adalah pengurangan permintaan sewa untuk segmen pangsapuri yang disebabkan kehilangan pekerjaan di ibu negara.

Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada tiga peratus berbanding 3.2 peratus separuh pertama tahun lalu.

Manakala kondominium berada pada 4.1 peratus berbanding 4.3 peratus separuh pertama tahun lalu. Median harga sewaan untuk apartmen servis, yang berada pada RM2,300 separuh pertama tahun lalu, turun kepada RM2,000 menjelang hujung tahun lalu.

Pengunjung hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur lebih cenderung untuk mencari rumah teres empat bilik bersaiz antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi serta kondominium bersaiz antara 1,000 hingga 1,250 kaki persegi atau sebuah unit dengan minimum tiga bilik berharga bawah RM2,300.

Permintaan terhadap hartanah sewaan di Selangor berada pada tahap penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada tahun lalu untuk semua jenis bangunan.

Bagaimanapun, rumah teres mencatatkan peningkatan permintaan 2.8 peratus menjadikan Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan positif pada tahun lalu.

Ia disebabkan penghijrahan para penyewa ke kaw

asan pinggir bandar bagi mencari kediaman yang lebih luas di kawasan seperti Bangi, Rawang, Kajang dan Cyberjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 7:00 AM