ARANG batu  antara sumber utama tenaga bagi penjanaan elektrik di seluruh dunia dan Malaysia mengimport sepenuhnya komoditi ini yang berperanan besar dalam tenaga negara.
ARANG batu antara sumber utama tenaga bagi penjanaan elektrik di seluruh dunia dan Malaysia mengimport sepenuhnya komoditi ini yang berperanan besar dalam tenaga negara.

KENAIKAN harga arang batu berikutan impak konflik antara Rusia dan Ukraine dilihat memberi tekanan terhadap industri penjanaan tenaga di Malaysia.

Akibat krisis dua negara itu, kenaikan harga arang batu dijangka mencecah sehingga AS$500 (RM2,102) satu tan, tahun ini.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata,  kenaikan harga arang batu, seperti kenaikan harga komoditi utama lain tidak dapat dipertikaikan.

  Katanya, arang batu adalah antara sumber utama tenaga bagi penjanaan elektrik di seluruh dunia dan Malaysia mengimport sepenuhnya komoditi ini yang berperanan besar dalam tenaga negara.

  "Selain itu, kebergantungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada arang batu untuk menjana elektrik negara sudah dilaksanakan berdekad-dekad lamanya.

"Tiada perubahan drastik ke arah pertukaran tenaga semula jadi lain seperti solar, air, angin dan sebagainya secara besar-besaran yang boleh digantikan dengan pencemaran yang dibawa arang batu.

"Tidak dinafikan kenaikan harga arang batu memberi tekanan tinggi kepada keuntungan TNB yang memaksanya mendapatkan kelulusan pihak kerajaan bagi menaikkan taraf elektrik.

"Disebabkan TNB pembekal tunggal atau monopoli dari segi keperluan elektrik negara, maka kemahuannya untuk menaikkan harga, lambat-laun perlu diterima masyarakat keseluruhan.

"Ini memberikan kesan kepada kadar inflasi negara yang kini menghadapi masalah kenaikan harga minyak, gas petroleum cecair (LPG) dan barang makanan.

"Apatah lagi pendapatan rakyat belum pulih sepenuhnya serta ekonomi domestik masih rapuh saat ini," katanya.

  Beliau berkata, bagaimanapun selagi TNB boleh bertahan dengan kenaikan kos operasinya, maka kerajaan pasti mengutamakan rakyat dan peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 7:00 AM