Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid
Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

Kuala Lumpur: Malaysia perlu mempercepat untuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) secara lebih meluas supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dieksport dari Indonesia.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya negara terus bergantung kepada bekalan arang batu dari Indonesia, pastinya ia berisiko tinggi.

Katanya, ia bukan saja menyebabkan ketidakstabilan bekalan, kenaikan harga yang tidak menentu, malah harga yang dibeli dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan negara terdedah kenaikan pertukaran asing.

"Ia kesan berganda, sudahlah harga naik dan harga pula naik dalam dolar AS, ini membebankan negara.

"Kalau harganya naik maka kesan kenaikan harga terpaksa ditanggung oleh pengguna dan perniagaan serta memberi kesan kepada kadar inflasi negara.

"Sememangnya RE adalah sumber yang mahal untuk dilaksanakan pada masa ini, tetapi ia adalah langkah yang menguntungkan bagi masa depan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, banyak tenaga alternatif yang belum dieksploitasi lagi seperti kuasa solar, angin, ombak yang lebih semula jadi bentuknya tetapi terhalang kerana tiada cubaan mengkomersilkan penemuan terbabit.

"Mungkin kerana kita sudah lama selesa untuk bergantung kepada tenaga yang ada tanpa mahu memikirkan mengguna tenaga lebih bersih dan tidak merosakkan alam sekitar.

"Sudah banyak penyelidikan dibuat untuk mendapatkan tenaga alternatif ini, tetapi tidak dilaksanakan mungkin atas pelbagai sebab antaranya keselesaan berdekad-dekad, sudah dikawal oleh pihak atau kartel tertentu, kekurangan modal melaksanakan pelaburan pembangunan infrastruktur baharu dan sebagainya.

"Kita lihat banyak negara maju sudah beralih kepada tenaga alternatif secara besar-besaran, mereka melabur jumlah wang yang banyak kerana menyedari bahawa mereka tidak dapat mengawal turun naik bekalan tenaga seperti minyak mentah, arang batu dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, kebelakangan ini ketidakstabilan bekalan dan harga minyak, gas dan arang baru yang disebabkan oleh pelbagai krisis global patut dipelajari dan melaksanakan pelan strategik bagi mengelakkan tekanan terhadap ekonomi negara.

"Hakikatnya, peralihan dan penumpuan kepada RE mestilah menjadi fokus negara dan kerajaan mungkin boleh memberikan insentif seperti pengecualian cukai pendapatan bagi sesiapa yang memasang unit solar di rumah, bagi tujuan menggalakkan pengurangan tenaga elektrik konvensional.

"Selain itu, pengecualian cukai kenderaan elektrik (EV) dan sistem pengecasnya yang diperkenalkan tahun ini mestilah diteruskan untuk tahun seterusnya dan infrastruktur EV seluruh negara mesti diadakan di semua kawasan rehat dan henti (R&R) di lebuh raya nasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 7:00 AM