TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan bagi mengurus tarif mengikut mekanisme  ICPT.
TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan bagi mengurus tarif mengikut mekanisme ICPT.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menyatakan sokongannya terhadap pemberian subsidi bersasar demi membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara selain dapat meringankan tekanan kos ke atas golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi TNB Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, pada akhir 2022, kerajaan mengumumkan pelaksanaan skim subsidi elektrik bersasar untuk pengguna domestik bagi terus menikmati rebat tarif bil elektrik serta tidak menaikkan surcaj untuk kumpulan perniagaan kecil dan industri terpilih.

Sejajar itu, TNB akan terus menyokong usaha berterusan kerajaan bagi mengurus tarif mengikut mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sambil mengimbangi keperluan tarif yang wajar untuk rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

"Sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin, TNB memahami keperluan membantu rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

"Pada masa sama, kami juga meneruskan usaha berkongsi kemakmuran dengan masyarakat menerusi inisiatif pendidikan dan sosioekonomi yang berkesan," katanya, kelmarin.

Abdul Razak berkata, di tengah-tengah harga bahan api yang tinggi sejak 2022 dan pemulihan ekonomi memberangsangkan, TNB kekal teguh dengan komitmennya untuk memenuhi keperluan tenaga pelanggan industri, komersial dan kediaman selain membantu mengemudi perjalanan Malaysia ke arah peralihan tenaga yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, ketika kemuncak krisis tenaga global pada tahun lalu, harga arang batu dan gas mencecah paras tertinggi dengan peningkatan masing-masing sebanyak 83 peratus dan 11 peratus tahun ke tahun.

"Di peringkat domestik, Malaysia turut tidak terlepas daripada kenaikan harga bahan api yang memberi kesan besar kepada kos penjanaan elektrik," katanya.

Baharin berkata, walaupun krisis tenaga memberi kesan kepada kos sistem tenaga negara sejak dua tahun lalu, ini sebaliknya mengukuhkan tekad TNB untuk mempercepat pelaksanaan usaha campuran sumber penjanaan lebih bersih menjelang 2050.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 7:00 AM