PELAN penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan dan tawaran moratorium sehingga enam bulan bagi pelanggan  layak.
PELAN penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan dan tawaran moratorium sehingga enam bulan bagi pelanggan layak.
Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Agrobank menawarkan pelan bantuan kepada pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa negeri, baru-baru ini.

Ia termasuk pelan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan dan tawaran moratorium sehingga enam bulan bagi pelanggan yang layak.

Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pihaknya berharap pelan Bantuan Banjir Agrobank itu dapat membantu pelanggan terjejas.

"Kami turut menawarkan Moratorium Pembiayaan bagi pelanggan kehilangan punca pendapatan dan mengalami kemusnahan projek (yang) akan dipertimbangkan untuk mendapatkan penangguhan pembiayaan ansuran bulanan sehingga enam bulan," katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

Menurut bank pusat itu, DRF 2022 akan membantu PMKS menampung kos membaiki dan/atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan seperti loji dan mesin yang telah rosak akibat banjir; dan/atau untuk modal kerja.

DRF 2022 ini tersedia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

Dalam pada itu, Khadijah berkata, Agrobank juga mengecualikan caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang musnah akibat banjir.

Sehubungan dengan itu, bagi pelanggan yang terjejas akibat banjir boleh memohon penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan.

"Ini adalah saat sukar bagi rakyat Malaysia dan penting bagi kami memberikan bantuan dalam apa jua cara yang boleh.

"Kami di Agrobank juga akan menghubungi pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini," tambahnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau e-mel ke [email protected] atau layari www.agrobank.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 7:10 AM