Pelanggan di cawangan BSN.
Pelanggan di cawangan BSN.

Kuala Lumpur: Pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang terjejas pendapatan akibat bencana banjir boleh menghubungi BSN untuk membincangkan mengenai bantuan pembayaran balik pembiayaan yang bersesuaian.

BSN menerusi kenyataan berkata, pihaknya prihatin dan simpati terhadap mangsa bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

"Selain itu, pemilik perniagaan mikro yang terkesan dan memerlukan pembiayaan untuk membangunkan semula perniagaan mereka, boleh memohon Skim Pembiayaan BSN Mikro/i SemarakNiaga.

"Skim pembiayaan ini menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM50,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.

"Melalui skim ini, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan.

"Usahawan mikro juga boleh memohon bantuan sehingga RM75,000 melalui Dana Bantuan Bencana (DRF)," katanya.

BSN berkata, caj bagi penggantian kad kredit dan kad debit BSN yang rosak atau hilang ekoran bencana banjir juga akan dikecualikan.

BSN melalui jenama Tanggungjawab Sosial Korporatnya, BSN Care, turut menghulurkan sumbangan berupa kotak keperluan asas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM90,000 kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Kotak keperluan asas ini mengandungi barangan makanan, minuman serta keperluan harian lain bernilai RM100 setiap satu.

"Ia sudah diserahkan kepada mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri masing-masing.

"Diharapkan melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh pihak BSN ini dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir terutamanya bagi meneruskan kehidupan pasca banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 3:38 PM