BSN mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri. FOTO Arkib NSTP
BSN mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri, baru-baru ini.

Bank itu dalam kenyataan berkata, pelanggan BSN yang terjejas pendapatan boleh menghubungi pihaknya untuk berbincang mengenai bantuan pembayaran balik pembiayaan termasuk moratorium atau yang bersesuaian.

Ia berkata, caj bagi penggantian kad kredit dan kad debit BSN yang rosak atau hilang susulan banjir juga akan dikecualikan.

"Selain itu, pemilik perniagaan mikro yang terkesan dan memerlukan pembiayaan untuk membangunkan semula perniagaan mereka, boleh memohon Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga.

"Skim pembiayaan ini menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM50,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.

"Melalui skim ini, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan.

"BSN juga menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF) dengan pembiayaan sehingga RM75,000 untuk tempoh pembiayaan sama," katanya.

Selain itu, BSN melalui jenama Tanggungjawab Sosial Korporatnya, BSN Care, turut menghulurkan sumbangan berupa kotak keperluan asas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir di Johor.

Kotak keperluan asas ini mengandungi barangan makanan, minuman serta keperluan harian lain, bernilai RM100 setiap satu.

Ia diserahkan kepada mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 1:46 PM