HORST Habbig. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
HORST Habbig. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kadar perlindungan bangunan kediaman di Malaysia dilihat masih rendah dan membimbangkan iaitu hanya dua juta daripada lapan juta pemilik rumah negara ini yang memiliki insurans.

Ketua Pegawai Jualan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz), Horst Habbig berkata, mereka yang memiliki rumah digalakkan untuk memiliki insurans kediaman sebagai langkah untuk melindungi bangunan kediaman sekiranya ditimpa sebarang kecelakaan dan bencana alam.

Beliau berkata, sesebuah rumah adalah lebih daripada sekadar pelaburan yang tinggi sebaliknya ia adalah tempat berteduh untuk individu dan keluarga malah, mungkin ada yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan penyewaan.

“Kepentingan untuk memiliki insurans rumah adalah begitu tinggi kerana kita tidak akan tahu apa yang akan terjadi pada masa depan namun, jumlah mereka yang sedar mengenai hal ini masih rendah.

“Sebagai pakar dalam segmen insurans rumah kediaman, kami menyeru orang ramai yang mempunyai rumah mempunyai insurans supaya kediaman yang didiami lebih selamat dan terjamin.

“Kami juga bersedia untuk berkongsi mengenai insurans rumah yang mampu milik dan bagaimana ia akan melindungi rumah anda hanya dengan jumlah premium yang rendah,” katanya pada Forum Rumah Pintar, Rumah Selamat,” katanya pada Forum Rumah Selamat, Rumah Pintar.

Forum dianjurkan Allianz General Insurance dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada sepanjang tahun lalu, pihaknya merekodkan RM3.3 bilion kerugian membabitkan kebakaran 6,626 struktur bangunan dan rumah di seluruh negara.

Sementara itu, Alliaz turut menawarkan produk Smart Home Cover, produk perlindungan insurans kediaman yang mempunyai lima komponen seperti bangunan, isi kandungan bangunan, perlindungan bayaran ansuran pinjaman rumah, pembaikan rumah dan insurans pemilik rumah.

Pelan berkenaan memberikan fleksibiliti kepada pemilik rumah untuk memilih dan membuat penyesuaian berdasarkan kepada keperluan dan kehendak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 7:34 AM