GROSS pada majlis pelancaran produk terbaharu Allianz, MediSafe Infinite+ dan MediAdvantage.
GROSS pada majlis pelancaran produk terbaharu Allianz, MediSafe Infinite+ dan MediAdvantage.
Nabil Basaruddin


Allianz Malaysia Berhad (Allianz) melancarkan produk insurans terbaharunya iaitu MediSafe Infinite+ dan MediAdvantage bagi menawarkan perlindungan kesihatan yang lebih baik di dalam dan luar negara kepada penduduk Malaysia.

Dua produk perlindungan itu adalah tambahan kepada Allianz PowerLink, perlindungan yang memfokuskan kepada Pelan Berkaitan Pelaburan.

MediSafe Infinite+ merangkumi perbelanjaan kemasukan hospital di Malaysia manakala MediAdvantage pula memberi akses kepada rawatan kesihatan di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Joseph Gross berkata, Allianz PowerLink adalah produk kekal yang ditawarkan operator insurans itu dan tambahan dua produk ini adalah pilihan kepada rakyat negara ini untuk menikmati penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Katanya, pengguna juga berpeluang mendapatkan perlindungan kesihatan fleksibel bersesuaian dengan keperluan mereka sama ada di dalam atau luar negara.

“Dalam soal kesihatan, mempunyai fleksibiliti untuk membuat pilihan rawatan membezakan produk Allianz berbanding syarikat insurans yang lain,” katanya pada majlis pelancaran produk insurans itu di sini, semalam.

Gross berkata, MediSafe Infinite+ mempunyai kad insurans sendiri yang menawarkan perlindungan hospital serta pembedahan komprehensif di samping perlindungan penyakit kanser yang lebih meluas.

Beliau berkata, antara perlindungan untuk penyakit kanser itu termasuklah ujian genomik, terapi yang disasarkan, terapi hormon dan imunoterapi.

“Perlindungan ini juga menawarkan bayaran balik tiada tuntutan sebanyak 20 peratus daripada kos insurans sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tahun polisi.

“Kami turut menawarkan tujuh pelan bermula daripada Pelan 150 untuk had tahunan RM850,000 sehingga pelan 500 bagi had berjumlah RM2.5 juta berdasarkan kemampuan pelanggan,” katanya.

Mengulas mengenai produk MediAdvantage pula, Gross berkata, ia adalah perlindungan perubatan luar negara yang menawarkan manfaat kemasukan hospital serta pembedahan bagi melengkapkan perlindungan perubatan yang disediakan oleh MediSafe Infinite+.

Menurutnya, produk itu berfungsi sebagai pakej perlindungan untuk pelanggan yang mahu mendapatkan rawatan di luar negara untuk lima keadaan perubatan dan rawatan.

“Ianya termasuklah kanser, pembedahan koronari arteri, pembedahan injap jantung, pemindahan organ penderma hidup dan tulang sum sum serta pembedahan intrakranial dan saraf tunjang tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 7:09 AM