PUSAT pameran MITEC sebahagian daripada projek pembangunan yang dilaksanakan Naza EC​.
PUSAT pameran MITEC sebahagian daripada projek pembangunan yang dilaksanakan Naza EC​.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Naza Engineering and Construction Sdn Bhd (Naza EC) meletakkan sasaran untuk mencapai nilai kontrak kerja bernilai RM2 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Bersama, Mohd Fuad Hashim berkata, tahun lalu syarikat berjaya mencapai nilai kontrak mencecah RM1.1 bilion.

“Berdasarkan prestasi yang direkodkan tahun lalu, kami yakin untuk mencatatkan kontrak kerja lebih tinggi tahun ini.

“Projek yang berjaya diperoleh membabitkan kerja pembinaan dan infrastruktur.

“Semua projek ini dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan untuk mencapai jumlah kontrak lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lalu berikutan pembabitan dalam beberapa inisiatif kerajaan.

“Antara projek yang akan disertai membabitkan kerja infrastruktur jalan raya, kerja pengairan dan pembinaan bangunan yang akan memacu nilai kontrak dalam tangan kepada RM3 bilion.

“Malah, dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan kerajaan bagi memacu sektor pembinaan pada tahun ini seperti perumahan awam, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kami juga menjangkakan untuk meraih beberapa kontrak pembinaan tambahan,” katanya.

Diasaskan pada 2010, pihaknya yakin Naza EC dapat mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini.

“Berdasarkan kejayaan yang diraih tahun lalu, kami akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengekalkan keberkesanan operasi.

“Malah, kami juga berharap dapat mencatatkan pertumbuhan nilai kontrak sebagai jaminan pendapatan berterusan untuk Naza EC bagi tahun mendatang,” katanya.

Pada 2016, Naza EC dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) untuk Projek Terbaik dalam kategori bangunan besar bernilai lebih RM100 juta melalui projek Naza Tower.

Selain menara berkenaan, antara projek yang mendapat sentuhan Naza EC adalah Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), TTDI Dualis, TTDI Grove, TTDI Ascencia dan TTDI Alam Impian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:30 AM