KERETA api ECRL laluan rel Pantai Timur.
KERETA api ECRL laluan rel Pantai Timur.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dan China menghasilkan situasi menang-menang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Syarikat pelaksana projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, situasi menang-menang yang dimaksudkan termasuk pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion atau 33 peratus daripada kos projek kepada RM44 bilion.

Selain itu, katanya, kedua-dua negara mendapat manfaat menerusi penubuhan syarikat usaha sama secara 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Ltd (CCCC) untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL serta peningkatan dalam penyertaan tempatan kontraktor Malaysia dalam kerja-kerja awam projek berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang dinyatakan mengenai ECRL, kerajaan atau MRL tidak pernah mendakwa bahawa penjimatan sebanyak RM21.5 bilion bagi projek ECRL yang ditambah baik adalah semata-mata daripada elemen overpricing, malah, ini bukan asas rundingan dengan China.

“MRL ingin menekankan bahawa Malaysia mengadakan rundingan dengan China atas dasar mencari cara dan usaha untuk mengurangkan kos ECRL tanpa kehilangan intipati asas jajaran projek rel berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara memilih untuk berunding secara diplomatik serta bermatlamat mencapai kos pembinaan ECRL yang lebih rendah.

“Sebagai pemilik projek dan aset ECRL, MRL juga ingin menyatakan bahawa Wakil Khas Perdana Menteri yang mengetuai perundingan ECRL, Tun Daim Zainuddin tidak berseorangan memikul tanggungjawab dalam melaksanakan rundingan ECRL dengan CCCC atau China.

“Walaupun Tun Daim adalah perunding utama pasukan petugas ECRL, pasukan petugas ini juga dianggotai oleh pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta MRL.

“Malah, komuniti tempatan dan antarabangsa sudah sedia maklum bahawa pasukan petugas ECRL ini mengendalikan proses rundingan dengan jayanya seperti dipaparkan melalui laporan akhbar, portal berita dan stesen TV di Malaysia dan luar negara,” katanya.

Berhubung kajian kebolehlaksanaan dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), MRL menjelaskan, rundingan dibuat berteraskan kontrak asal kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliah (EPCC).

“Secara ringkas, ia bukanlah proses rundingan untuk mencapai Perjanjian EPCC yang baru tetapi untuk menambah baik projek ECRL menerusi Perjanjian Tambahan (SA) yang ditandatangani pada 12 April 2019 di Beijing,” katanya.

Mengulas lanjut, MRL berkata, ia menyedari sepenuhnya keperluan untuk pentauliahan satu laporan EIA yang baru terhadap jajaran ECRL sepanjang 640 kilometer yang kini membabitkan jajaran Selatan baru dan penyusunan semula terhadap beberapa jajaran.

“MRL berharap untuk menerima pentauliahan laporan EIA yang baru pada suku ketiga tahun ini kerana penjajaran semula keseluruhan ECRL akan lebih terperinci pada masa itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:56 AM